Friday , 17 August 2018

Home » Nasional » Bauksit: Kerajaan disaran kenakan bon jaminan RM50j

Bauksit: Kerajaan disaran kenakan bon jaminan RM50j

August 11, 2018 3:41 pm Category: Nasional A+ / A-
Bauksit: Kerajaan disaran kenakan bon jaminan RM50j

KUANTAN,. Kerajaan disaran mengenakan bon jaminan minimum RM50 juta terhadap pengusaha berminat meneruskan kerja melombong bauksit, sekiranya arahan moratorium aktiviti itu ditarik balik.

Pengerusi Gerakan Rakyat Hentikan Pencemaran Bauksit (GERAM), Ali Akbar Othman, berkata pelaksanaan bon itu dapat membantu memastikan setiap pihak berkepentingan dalam aktiviti perlombongan bauksit, mematuhi peraturan ditetapkan.

“Bon jaminan ini sangat penting kerana kerajaan boleh menggunakannya untuk menjalankan kerja pembersihan dan baik pulih kawasan terbabit dengan aktiviti perlombongan bauksit jika pengusaha melanggar peraturan.

“Kadar bon dicadangkan ialah minimum RM50 juta dan ia sebagai cagaran. Jika mereka (pengusaha lombong bauksit) tiada melakukan kesalahan, boleh menuntut balik bon itu,” katanya kepada NSTP, di sini.

Selain itu, Ali Akbar berkata, kerajaan negeri turut diminta memberi jaminan tidak akan berlaku lagi aktiviti perlombongan bauksit secara haram jika arahan moratorium ditarik balik, bagi mengelakkan isu pencemaran dan keselamatan.

“Buat prosedur operasi standard (SOP) yang betul dan boleh diikuti. Bukan sekadar membuat SOP di atas kertas sahaja tetapi tidak boleh dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) Pahang, Noor Jehan Abu Bakar, berkata pihaknya menolak sebarang usaha mengembalikan semula aktiviti perlombongan bauksit di negeri ini.

Beliau berkata, ia berikutan pihak berkuasa didakwa gagal memantau aktiviti berkenaan, termasuk ketika tempoh moratorium.

“Saya tidak nampak ada kesungguhan dan kesediaan mereka (pihak berkuasa) untuk memastikan aktiviti itu dijamin tidak akan menjejaskan semula alam sekitar sekiranya arahan (moratorium) ditarik balik. Stok simpanan sebelum ini pun masih belum dilupuskan sepenuhnya.

“Sepanjang tempoh moratorium, tidak nampak langkah pihak pengusaha sebelum ini untuk memulihara kembali kawasan bekas tapak lombong mereka.

“Banyak lombong ditinggalkan begitu sahaja dan tidak ditimbus semula oleh mereka. Ini jelas sikap tidak bertanggungjawab yang boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk, terutama kanak-kanak,” katanya.

Mengulas cadangan GERAM supaya bon jaminan dikenakan terhadap pengusaha lombong bauksit pula, Noor Jehan berkata, ia dilihat sangat praktikal tetapi wang terbabit perlu diserahkan kepada pihak bertanggungjawab dan boleh dipercayai.

Difahamkan, satu perjumpaan antara Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar, dengan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta pihak berkepentingan dalam aktiviti perlombongan bauksit, bakal diadakan akhir bulan ini.

Perjumpaan itu dijangka membincangkan status moratorium diputuskan kerajaan terdahulu sejak 2016 yang menyaksikan aktiviti perlombongan bauksit dihentikan.

scroll to top