Tuesday , 25 June 2019

Home » Nasional » Bekas pegawai kanan polis Orang Asli tempatan calon BN bagi PRK Cameron Highlands

Bekas pegawai kanan polis Orang Asli tempatan calon BN bagi PRK Cameron Highlands

January 10, 2019 4:37 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Bekas pegawai kanan polis Orang Asli tempatan calon BN bagi PRK Cameron Highlands

Ramli Mohd Nor

KUALA LUMPUR,. Bekas pegawai kanan polis dari komuniti Orang Asli tempatan, Ramli Mohd Nor diumum sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, 26 Jan ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan ketika mengumumkan perkara itu yakin pemilihan Ramli, bekas penolong pesuruhjaya polis, akan berjaya mendapat sokongan pengundi dan masyarakat Cameron Highlands.

Menurutnya, dalam melakukan pemilihan Ramli sebagai calon, BN telah mengambil pendekatan baharu dengan calon dipilih perlu mendapat kepercayaan pengundi dan bukan hanya kepercayaan dari parti semata-mata.

“Beliau merupakan calon BN dan bukannya calon dari mana-mana parti komponen dalam BN, kita yakin beliau akan mendapat sokongan dari pengundi.

“Kita juga ingin berterima kasih kepada MIC kerana berlapang dada meminjamkan kerusi Cameron Highlands ini pada BN,” katanya kepada pemberita pada majlis pengumuman calon BN bagi PRK Parlimen Cameron Highlands di sini, hari ini.

PRK Parlimen Cameron Highlands bakal berlangsung selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisyitiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh dari BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

Pada PRU14, Sivarraajh memenangi kerusi Parlimen Cameron Highlands dengan memperoleh 10,307 undi menewaskan Manogaran yang meraih 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud dari PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim dari Berjasa (81 undi) dan B. Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

SPR menetapkan 12 Jan bagi penamaan calon PRK itu manakala hari mengundi awal 22 Jan dan hari pengundian 26 Jan.

Sehingga hari ini, Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran dan Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas telah menyatakan hasrat untuk bertanding dalam PRK itu.

— BERNAMA

scroll to top