Tuesday , 20 November 2018

Home » Dewan Rakyat » Belanjawan Alternatif pembangkang akan dibentang Isnin depan

Belanjawan Alternatif pembangkang akan dibentang Isnin depan

November 7, 2018 7:19 am Category: Dewan Rakyat, Nasional, Politik A+ / A-
Belanjawan Alternatif pembangkang akan dibentang Isnin depan

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.gambar Fail

RANTAU,. Belanjawan Alternatif pembangkang 2019 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin depan, lebih menjurus kepada alternatif atau inisiatif ekonomi rakyat, terutama bagi masyarakat luar bandar.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana masyarakat luar bandar seperti golongan miskin tegar tidak seharusnya dipinggirkan.

Menurut Ahmad Zahid, pembentangan belanjawan itu adalah kelaziman dalam tatacara di Dewan Rakyat, iaitu Ketua Pembangkang akan diberi peluang sebagai pembahas utama untuk membahaskan belanjawan yang dibentangkan Menteri Kewangan.
Justeru, kata beliau, belanjawan yang akan dibentang Pengerusi Jawatankuasa Portfolio Kewangan Kabinet Bayangan Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin Abu Bakar, akan menyentuh isu peruntukan buat penduduk luar bandar.

“Jadi apa yang akan dibentangkan pada hari Isnin dan selanjutnya oleh Ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional dan gagasan pembangkang, menuju ke arah untuk menyedarkan kepada rakyat keseluruhannya bahawa tidak semua kumpulan rakyat difokuskan untuk diberi peruntukan dalam Bajet 2019,” jelas beliau.

Sebelum ini, Ahmad Zahid mempersoalkan Belanjawan 2019 yang diumum Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu, meminggirkan golongan miskin tegar di luar bandar.

Menurutnya, golongan petani, nelayan dan pekebun kecil tidak mendapat manfaat langsung daripada belanjawan tersebut sedangkan keadaan harga komoditi merosot.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata demikian selepas program Siri Jelajah UMNO Bangkit di Rantau, Negeri Sembilan, pagi tadi.

Negeri sembilan merupakan negeri keempat dalam siri jelajahnya ke seluruh negara, selepas Terengganu, Kedah dan Perlis.

scroll to top