Friday , 16 November 2018

Home » Sukan » Belgium, England rebut peluang tempat ketiga sebagai penawar

Belgium, England rebut peluang tempat ketiga sebagai penawar

July 13, 2018 7:25 am Category: Sukan A+ / A-
Belgium, England rebut peluang tempat ketiga sebagai penawar

Southgate

SAINT PETERSBURG,. Pengendali England Gareth Southgate mengakui perlawanan penentuan tempat ketiga bukan idaman mana-mana pasukan, tetapi pertemuan dengan Belgium esok menawarkan peluang untuk menamatkan kejohanan Piala Dunia kali ini dengan kemenangan.

Kekalahan 2-1 di tangan Croatia dalam masa tambahan menafikan peluang England untuk memburu trofi Piala Dunia buat kali kedua, sebaliknya sekadar menempah pertemuan dengan seteru lama Belgium untuk merebut tempat ketiga.

Skuad kendalian Roberto Martinez yang tewas 1-0 kepada Perancis pada separuh akhir, menjuarai Kumpulan G mengatasi England selepas jaringan Adnan Januzaj membezakan pertemuan di Kaliningrad pada aksi terakhir peringkat kumpulan.

Perlawanan itu menyaksikan kedua-dua pengendali merehatkan beberapa tonggak utama masing-masing, dan perkara sama dijangka berlaku di Saint Petersburg bagi memberi peluang kepada pemain simpanan beraksi pada aksi penutup ini.

“Secara jujurnya, ia bukan perlawanan yang mana-mana pasukan ingin beraksi,” kata Southgate, yang anak buahnya mendapat pujian di atas kejayaan mereka menyatukan negara selepas perpecahan akibat Brexit.

Bagaimanapun Southgate menegaskan, dia tidak akan menukar pendekatan England yang dalam misi memburu penamat terbaik sejak memenangi kejohanan itu pada tahun 1966.

“Kami mahu mempamerkan persembahan bermaruah, itu sudah pasti. Setiap kali kami menyarung jersi kebangsaan, kami mahu bermain dengan penuh rasa bangga, bermain baik dan mahu menang,” katanya.

Hanya penjaga gol simpanan Jack Butland dan Nick Pope daripada skuad bawah 23 tahun England yang belum diturunkan di Russia, di mana Southgate menurunkan barisan pemain sama sepanjang pusingan kalah mati.

Bagi Belgium dan generasi emasnya, sebahagian besar tonggak utama dijangka kembali beraksi untuk Piala Dunia 2022, kecuali Vincent Kompany dan Jan Vertonghen yang mungkin akan bersara.

Martinez yang melanjutkan kontrak Mei lalu sehingga selepas Euro 2020, berpeluang memperbaiki rekod terbaik mereka di Piala Dunia – tempat keempat pada tahun 1986.

“Kami mahu menamatkan kejohanan dengan rasa bangga dan pemain-pemain ini berhak menikmatinya,” kata pengendali dari Sepanyol itu. “Peluang mendapat tempat ketiga tidak selalu hadir, jadi ini juga satu perlawanan penting.”

Dalam sembilan edisi Piala Dunia lalu, tempat ketiga dimenangi oleh pasukan Eropah.

Bagi kapten England Harry Kane yang kini mendahului senarai penjaring dengan enam gol dan penyerang Belgium Romelu Lukaku empat gol, persaingan untuk Kasut Emas masih terbuka.

Satu gol lagi Kane akan menjadi penjaring terbanyak kejohanan sejak tahun 2002, di mana Ronaldo meledak lapan kali, termasuk dua gol pada aksi final ketika membantu Brazil muncul juara buat kali kelima.

Satu-satunya pemain England pernah meraih gelaran berkenaan adalah Gary Lineker pada tahun 1986.

– AFP

scroll to top