Saturday , 19 January 2019

Home » Dunia » Berita buruk: Suhu lautan dunia sebenarnya meningkat dalam rekod lebih pantas – Kajian

Berita buruk: Suhu lautan dunia sebenarnya meningkat dalam rekod lebih pantas – Kajian

January 12, 2019 8:07 am Category: Dunia A+ / A-
Berita buruk: Suhu lautan dunia sebenarnya meningkat dalam rekod lebih pantas – Kajian

Gambar Hiasan

TAMPA,. Suhu lautan sedunia semakin meningkat dalam rekod bacaan yang lebih pantas, sekali gus menunjukkan bahawa pemanasan global terus berlaku dan mengancam pelbagai hidupan marin serta bekalan makanan utama bagi planet Bumi.

Agensi berita AFP melaporkan perkembangan itu berdasarkan dapatan kajian pasukan penyelidik pada Khamis, yang turut tersiar dalam jurnal Science.

Kajian diketuai Akademi Sains China itu menafikan hasil kajian sebelumnya yang menyatakan bahawa aktiviti pemanasan global terhenti sementara dalam tahun-tahun kebelakangan ini.

Teknologi terkini membuktikan perkara itu tidak pernah terjadi, sekali gus membawa kebimbangan tentang betapa cepatnya perubahan iklim dan impaknya terhadap penampan Bumi, iaitu lautan.

“Pemanasan laut adalah petunjuk penting mengenai perubahan iklim, dan kami mempunyai bukti kukuh bahawa ia ber;laku lebih pantas daripada yang kita jangkakan,” ujar penyelidik bersama, Zeke Hausfather, di University of California, Berkeley.

Kira-kira 93 peratus haba berlebihan yang terperangkap di sekeliling Bumi akibat kesan gas rumah hijau, kini terkumpul di lautan-lautan sedunia.

Laporan terkini itu merujuk kepada empat kajian, yang diterbitkan antara tahun 2014 dan 2017. Ia memberi jangkaan yang lebih tepat mengenai bacaan suhu laut sebelum ini, hingga membolehkan saintis mengemas kini kajian dan meramal masa depan.

Analisis terbaharu menunjukkan bacaan pemanasan lautan adalah selari dengan peningkatan suhu udara.

Jika tiada usaha dilakukan untuk mengurangkan kesan gas rumah hijau, unjuran kajian meramalkan suhu di lapisan permukaan 2,000 meter di semua laut di dunia ini bakal meningkat sehingga 0.78 darjah Celsius menjelang penghujung abad.

Lonjakan bacaan termal ini menjadi punca pengembangan air laut hingga boleh meningkatkan paras laut sehingga 30 sentimeter, iaitu melebihi bacaan peningkatan paras laut akibat pencairan glasier dan ais di kutub.

scroll to top