Friday , 17 August 2018

Home » Bisnes » Bermaz Motor tampil Mazda6, CX-3 baharu

Bermaz Motor tampil Mazda6, CX-3 baharu

August 10, 2018 5:30 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Bermaz Motor tampil Mazda6, CX-3 baharu

Model terkini Mazda CX-3 pada Pelancaran Pusat jualan, Servis dan Alat Ganti Mazda

GEORGETOWN,. Bermaz Motor melancarkan Mazda6 yang menampilkan ciri kemasan baharu dilengkapi lampu utama LED dan gril hadapan baharu yang berkonsepkan kereta penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif Bermaz Motor, Datuk Seri Ben Yeoh, berkata model berkenaan boleh didapati dalam tujuh pilihan warna berlainan, iaitu Snowflake White Pearl, Sonic Silver, Jet Black, Deep Crystal Blue, Soul Red Crystal, Machine Grey dan Titanium flash.

“Mazda6 dilengkapi teknologi kamera 360 darjah terbaharu bagi membantu pemandu melihat sekeliling ketika parkir atau mengundur kereta, selain mampu memberi gambaran persekitarannya dengan tepat dengan harganya belum boleh didedahkan.

“Selain itu, kami turut melancarkan kenderaan utiliti sukan (SUV) CX-3 dengan kedua-dua model ini didatangkan dalam tiga varian, membabitkan SKYACTIV-G 2.0 litre, SKYACTIV-D 2.5 litre and SKYACTIV-D 2.2 liter.

“Harga pasaran bagi CX-3 atas jalan tanpa insurans bernilai RM121,134 dan tempoh penghantaran boleh menjangkau sehingga tahun depan, bergantung kepada pembekalan,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran berkenaan di sini.

Mazda6 menggabungkan butiran premium dan teknologi berasaskan falsafah pembangunan sentrik manusia Mazda dengan semua perincian dikaji semula bagi meningkatkan penampilan dan prestasi keseluruhannya.

Ia juga diperhalusi dengan perubahan rekaan luar yang memberi tumpuan kepada cita rasa premium dan elegan, selain bahagian bampar dilengkapi ruang udara bagi meningkatkan prestasi aerodinamik dengan menyalurkan udara ke bahagian tayar hadapan.

Rekaan dalamannya turut diperhalusi secata komprehensif, termasuklah meluaskan reka bentuk papan pemuka, selain ruangan MAZDA CONNECT infotainmen dilebarkan kepada ukuran lapan inci.

Yeoh berkata, model CX-3 terkini dinaik taraf daripada rekaan asal yang diperkenalkan pada tahun 2015, bagi memberi penampilan lebih elegan dan kecekapan prestasi pemanduannya.

“Rekaan luar lebih terperinci dengan gril baharu dengan krom berganda, lampu belakang dan rim baharu ditampilkan bagi mengetengahkan ciri lebih elegan. Papan pemuka CX-3 juga dikemaskini, selain dilengkapi brek elektronik dan ruang simpanan lebih luas.

“Penalaan suspensi, kawalan stereng dan ‘ chassis recalibrated’ juga dilakukan bagi pengalaman perjalanan lebih lancar,” katanya.

Pada majlis sama, Yeoh turut melancarkan cawangan dan Pusat 3S (jualan, servis dan alat gantian) terbaharu yang terletak di Jelutong, masing-masing muncul sebagai cawangan ke-85 dan Pusat 3S ke-43.

“Pusat 3S terbesar di Malaysia ini dilengkapi tujuh ruangan kerja yang mampu menampung hampir 500 kereta sebulan, selain beroperasi bagi jualan dan perkhidmatan selepas jualan bagi keseluruhan pengguna di negeri ini.

“Pelaburan dalam Pusat 3S ini menunjukkan komitmen kita dalam memperkukuhkan jenama ini di Pulau Pinang. Juruteknik terlatih juga disediakan bagi khidmat profesional kepada pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya komited untuk menyerap kadar ditetapkan bagi sistem percukaian baharu, Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bagi setiap tempahan diterima sebelum 1 September ini.

“Serapan SST ini bergantung kepada model yang akan diumumkan kerana kita melihat ada perubahan harga dan memutuskan untuk menyerap perbezaan nilai berkenaan.

“Pengukuhan mata wang negara berbanding yen juga memberi kesan kepada kos pengeluaran kereta. Justeru, kita akan memberi faedah kepada pengguna dengan menyerap kadar SST bagi suatu tempoh ditetapkan,” katanya.

scroll to top