Thursday , 18 July 2019

Home » Dunia » Bernama menandatangani Piagam Toleransi “Agensi Berita”

Bernama menandatangani Piagam Toleransi “Agensi Berita”

February 11, 2019 7:36 am Category: Dunia, Nasional A+ / A-
Bernama menandatangani Piagam Toleransi “Agensi Berita”

DUBAI,. Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) adalah antara penandatangan Piagam Toleransi “Agensi Berita”.

Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Nurini Kassim menandatangani piagam yang dimulakan oleh Emiriyah Arab Bersatu (UAE) bagi pihak agensi berita itu di luar Sidang Kemuncak Kerajaan Dunia 2019 di sini hari ini.

“Saya senang hati menjadi penandatangan kepada piagam ini. Memang amat relevan bahawa Bernama menyokong Piagam ini kerana kami adalah pertubuhan berita kebangsaan di Malaysia, sebuah negara yang unik berbilang kaum, dan ia adalah sebahagian daripada peranan dan tanggungjawab kami untuk membantu menyalurkan mesej seperti perpaduan, toleransi dan keterangkuman di kalangan masyarakat kami dan komuniti, “katanya selepas majlis menandatangani perjanjian itu.

Upacara itu menyaksikan 23 agensi berita,10 daripadanya dari negara Arab, menandatangani piagam itu di hadapan Menteri Negara UAE, Dr Sultan Ahmed Al Jaber.

Nurini berkata Bernama juga bersedia berkongsi berita Malaysia dengan agensi media terbabit.

“Berita dan kisah yang dihasilkan memaparkan kewujudan keharmonian di kalangan pelbagai bangsa dan budaya di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata dengan sokongan media global menerusi inisiatif ini, Malaysia berharap generasi akan datang di seluruh dunia dapat memahami dan menerima semua masyarakat, kepercayaan dan agama dengan memberi tumpuan kepada nilai-nilai yang menggalakkan pembangunan, produktiviti dan keamanan global untuk manusia sejagat.

Di antara ikrar piagam itu adalah bahawa penandatanganan melihat bahawa prinsip-prinsip toleransi layak mendapat tindakan lanjut media yang berterusan, yang memberi gambaran tentang peranannya dalam mencapai nilai-nilai hidup berdampingan secara aman antara kalangan agama, doktrin dan ideologi yang berbeza.

Mereka yang menandatangani piagam itu juga bersetuju untuk saling bertukar berita bertulis, gambar, klip video dan bahan-bahan jurnalistik yang lain dengan media berita yang berbeza, yang berkaitan dengan topik toleransi, tanpa mengira lokasi peristiwa tersebut.

Agensi-agensi ini juga dijangka menyoroti peranan belia dalam membangunkan masyarakat toleran, dan mendorong ke arah memperkuatkan penyertaan mereka dalam membuat keputusan dan merangka rancangan masa depan.

— BERNAMA

scroll to top