Thursday , 27 June 2019

Home » Nasional » Bernama serah sumbangan kepada Rumah Bakti Darussalam

Bernama serah sumbangan kepada Rumah Bakti Darussalam

January 13, 2019 8:10 am Category: Nasional A+ / A-
Bernama serah sumbangan kepada Rumah Bakti Darussalam

KUALA LUMPUR,. Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menerusi stesen radio, Bernama Radio serta anak syarikatnya Uxera Sdn Bhd hari ini menyampaikan sumbangan kepada Rumah Bakti Darussalam, Taman Gombak atas inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bantuan berbentuk beg, kasut sekolah dan alat tulis disampaikan oleh Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang kepada lapan penghuni tetap rumah kebajikan itu yang berumur antara tujuh hingga 13 tahun.

Bernama turut menyampaikan sumbangan wang tunai kepada pihak pengurusan rumah tersebut yang diwakili Setiausaha Agung Pertubuhan Pembangunan Insan Darussalam Malaysia, Mohd Pitry Bahrim.

Rumah Bakti Darussalam yang diusahakan Pertubuhan Pembangunan Insan Darussalam Malaysia diwujudkan awal 2018 hasil sebuah rumah yang diwakafkan di Taman Gombak.

Turut hadir pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bernama Nurini Kassim, Ketua Pegawai Operasi Bernama Radio, Azlan Idris dan CEO Uxera Sdn Bhd, Muniyati Muhamad.

Azman berkata Bernama mempunyai pelbagai saluran media termasuk radio dan televisyen untuk menguar-uarkan kewujudan rumah-rumah kebajikan seumpama itu supaya lebih ramai anggota masyarakat menghulurkan bantuan.

Beliau turut mencadangkan supaya Rumah Bakti Darussalam dijadikan rumah angkat agensi berita berkenaan.

“Bernama mempunyai 1,000 kakitangan dan sekiranya seorang dapat menderma RM1 sebulan, maka kita mampu mengumpulkan RM1,000 untuk didermakan,” katanya.

Nurini pula berharap jabatan lain di bawah Bernama akan turut serta dalam aktiviti kebajikan sedemikian bagi membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Bagi pihak Bernama Radio, Azlan berkata usaha berterusan itu adalah permulaan program CSR bagi tahun 2019 dan sumbangan akan diperluaskan ke negeri-negeri lain termasuk Sabah serta Sarawak.

Sementara itu, Mohd Pitry yang berterima kasih atas sumbangan Bernama berkata kos operasi rumah kebajikan itu agak tinggi iaitu kira-kira RM960 bagi seorang pelajar dalam tempoh sebulan.

“Kami sangat berbesar hati sekiranya ada penglibatan badan-badan korporat yang sudi menjadi penaja tetap rumah bakti ini supaya kami dapat menjalankan aktiviti harian,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top