Saturday , 15 December 2018

Home » Nasional » BERNAS pamer 50 variasi beras pada MAHA 2018

BERNAS pamer 50 variasi beras pada MAHA 2018

November 16, 2018 11:34 am Category: Nasional A+ / A-
BERNAS pamer 50 variasi beras pada MAHA 2018

KUALA LUMPUR,. Sempena pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro (MAHA) 2018, awal Disember ini, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) akan mempamerkan lebih 50 variasi beras tempatan dan antarabangsa kepada pengunjung.

Pameran 11 hari yang bermula 22 November sehingga 2 Disember di Taman Ekpo Pertanian Malaysia (MAEPS) itu, masih mengekalkan tema “Makanan Kita, Masa Depan Kita” sekali gus memberi peluang kepada BERNAS untuk mendekati pengguna dengan variasi terkini beras.

BERNAS dalam kenyataannya berkata antara jenis beras yang akan dipamerkan termasuk 20 jenis tempatan dari Sabah dan Sarawak, serta 30 jenis beras Thailand, Korea Selatan, Jepun, India, Pakistan, Myanmar, Bangladesh dan beberapa negara lagi.

“Pengunjung boleh menyaksikan beras ini di ruang pameran A214 di Dewan A dan di Laman Padi. Selain pameran, MAHA 2018 dijadikan platform perkongsian maklumat mengenai tugas serta tanggungjawab BERNAS dalam membangunkan industri padi dan beras negara.

“Ini termasuk maklumat Skim Pengilang Bumiputera, subsidi, pemutuan padi dan maklumat beras plastik,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pada MAHA 2018, di gerai BERNAS akan diadakan pelbagai aktiviti menarik seperti ‘Wheel of Possibility’ dan pertandingan menganggar berat beras.

“Menariknya, pengunjung bertuah akan menerima hadiah bekalan beras selama setahun yang disediakan BERNAS,” katanya.

Di Laman Padi, pengunjung akan diraikan dengan juadah bubur lambuk yang amat sinonim dengan BERNAS ketika pameran MAHA dijalankan.

Menariknya tahun ini, bubur lambuk yang disediakan akan menggunakan pelbagai jenis beras seperti beras merah, beras putih tempatan, beras perang, beras wangi dan lain-lain lagi.

Selain bubur lambuk, BERNAS juga akan menyediakan beberapa jenis makanan lain yang berasaskan beras seperti putu mayam, inang-inang, pulut pagi, pongul dan bubur untuk pengunjung.

scroll to top