Thursday , 25 April 2019

Home » Ekonomi » Bernas perlu sahut cabaran giatkan teknologi pertanian – Salahuddin

Bernas perlu sahut cabaran giatkan teknologi pertanian – Salahuddin

March 19, 2019 7:53 am Category: Ekonomi, Nasional, Teknologi A+ / A-
Bernas perlu sahut cabaran giatkan teknologi pertanian – Salahuddin

Salahuddin berucap pada Majlis Anugerah Tani Padiberas Nasional Berhad 2019 di Serdang malam tadi. - BERNAMA

SERI KEMBANGAN,. Agensi Padiberas Nasional Malaysia (Bernas) dinasihatkan tidak berasa terlalu selesa dengan kejayaan yang dikecapi dalam membantu golongan petani dan pesawah membangunkan industri padi dan beras negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA), Datuk Salahuddin Ayub berkata, agensi tersebut perlu mengorak langkah secara menyeluruh menerokai bidang baharu menjurus kepada pemodenan pertanian.

“Kita perlu didik petani, berikan mereka tumpuan kepada teknologi drone, smart farming khususnya kepada golongan petani muda. Bernas yang meraikan 25 tahunnya perlu menitik beratkan hal itu supaya dalam apa jua keadaan mereka tetap unggul dan mampu bersaing.

“Macam kita lihat syarikat multinasional yang lain dimana mereka peka terokai bidang baru yang mencabar. Bernas juga perlu kuasainya untuk menjadi jaguh antarabangsa mengajar segalanya kepada petani dan pesawah,” katanya pada majlis Anugerah Tani Bernas (ATB) 2019 di sini pada Isnin.

Menurut Salahuddin, pihaknya juga akan membantu pihak Bernas dalam menyediakan keperluan bagi mendepani perkara itu.

Sementara itu, Pengerusi Bernas Megat Joha Megat Abdul Rahman berkata pihaknya menyokong kuat saranan kerajaan itu.

“Bernas menyokong hala tuju kementerian yang telah dilancarkan pada 14 Februari lepas untuk memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara.

“Peningkatan produktiviti beras tempatan bukan sahaja dapat ditingkatkan sekaligus mengukuhkan bekalan beras dalam negara tetapi akan turut mempertingkatkan taraf ekonomi luar bandar sejajardengan aspirasi kerajaan untuk mentransformasikan sektor agro makanan negara,” katanya yang turut hadir pada majlis itu.

Sebanyak 11 anugerah disampaikan termasuk diumumkan tiga pesawah muda bagi tiga kategori utama pada majlis itu.

Anugerah Pesawah Cemerlang diraih Norzan Abdullah, 39, dari Kubang Rotan, Kedah yang terpilih berdasarkan sumbangan dan pencapaian yang konsisten dalam pengeluaran hasil padi yang baik dan bermutu tinggi membawa pulang wang tunai bernilai RM10,000, sebuah motosikal Kriss MR2, trofi dan juga sijil.

Muhammad Fadhlan Suhaimi, 29, dari Peringat, Kelantan dinobat selaku penerima Anugerah Khas Pesawah Belia dan Noorshamsina Shamsul, 34, dari Sungai Manik, Perak menerima Anugerah Khas Srikandi.

Kedua-dua mereka, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, sebuah motosikal, trofi dan sijil. — Bernama

scroll to top