Monday , 23 April 2018

Home » Nasional » Bertugas di AS, bakti Zulhasnan kepada penduduk Setiawangsa diteruskan

Bertugas di AS, bakti Zulhasnan kepada penduduk Setiawangsa diteruskan

April 16, 2018 12:43 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Bertugas di AS, bakti Zulhasnan kepada penduduk Setiawangsa diteruskan

Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique

KUALA LUMPUR,. Meskipun masih berkhidmat di luar negara, Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat (AS), Tan Sri Dr Zulhasnan Rafique, masih terus menyalurkan sumbangan kepada penduduk sekitar Parlimen Setiawangsa, di sini.

Pada satu majlis bersama penduduk perumahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Keramat Wangsa, Zulhasnan yang juga Ketua Umno Bahagian Setiawangsa, menyampaikan sumbangan RM32,000 kepada wakil 32 blok kediaman PDRM di kawasan berkenaan.

Zulhasnan yang juga Penaung Yayasan Amal Wangsa berkata, hubungan erat antara dirinya bersama penduduk di kawasan Setiawangsa, adalah faktor utama beliau terus berbakti kepada masyarakat dan keluarga pasukan keselamatan khususnya PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Desa Tun Hussein Onn.

“Program kemasyarakatan seperti ini sering diadakan bagi memastikan warga di kawasan Parlimen Setiawangsa boleh menyuarakan sebarang permasalahan dihadapi mereka.

“Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, pernah meminta saya pulang ke Malaysia untuk berinteraksi bersama rakyat khususnya di kawasan Setiawangsa,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Pemimpin PDRM dan Penyampaian Sumbangan Perumahan serta Anugerah Pelajar Cemerlang PDRM, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Sumber Strategik dan Teknologi (StaRT) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, yang mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, program berkenaan juga sebahagian aktiviti utama Yayasan Amal Setiawangsa yang dipengerusikan isterinya, Puan Sri Nooriah Ana Razak.

Pada majlis sama, 30 anak warga PDRM yang cemerlang dalam peperiksaan mengikut peringkat penilaian menerima sumbangan sijil penghargaan dan wang tunai, manakala seorang pelajar lelaki yang mendapat keputusan 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima anugerah Tokoh Pelajar Cemerlang 2017.

scroll to top