Thursday , 18 October 2018

Home » Bisnes » BIG Xchange perkukuh program kesetiaan AirAsia

BIG Xchange perkukuh program kesetiaan AirAsia

September 14, 2018 4:06 pm Category: Bisnes, Nasional A+ / A-
BIG Xchange perkukuh program kesetiaan AirAsia

KUALA LUMPUR,. BIG Loyalty Sdn Bhd, pemilik dan pengendali program kesetiaan BIG Loyalty AirAsia, menyasarkan sumbangan segmen pertukaran mata ganjaran kad kredit kepada perolehan syarikat akan meningkat sebanyak 10 peratus menerusi pelancaran program baharu, BIG Xchange.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sereen Teoh, berkata pada masa ini segmen membabitkan institusi kewangan itu menyumbang kira-kira 20 peratus kepada pendapatan syarikat di samping segmen lain.

“Kami menjangkakan segmen ini akan meningkat kepada 30 peratus terutama melalui rakan kewangan sedia ada termasuk Citi Malaysia yang menjadi rakan pertama kami disenaraikan melalui platform ini,” katanya pada pelancaran BIG Xchange di sini, hari ini.

BIG Xchange adalah platform pertukaran mata penerbangan yang pertama di dunia untuk ahli BIG menukar antara BIG Points dan rakan niaga secara lebih mudah dan pantas.

Beliau berkata, ahli BIG boleh menghubungkan akaun mata ganjaran mereka dengan rakan kerjasama (gaya hidup dan kewangan) dalam BIG Loyalty melalui BIG Xchange yang hanya boleh didapati melalui aplikasi mudah alihnya mulai 25 September ini.

Citi Malaysia adalah rakan pertama bagi platform itu, yang akan memberi kemudahan kepada pemegang kad kredit Citi untuk menukar mata ganjaran Citi atau PremierMiles kepada mata ganjaran BIG bagi menikmati harga tambang eksklusif untuk ahli sehingga diskaun 90 peratus.

Menurutnya, mereka juga berpeluang menikmati bonus 50 peratus mata ganjaran BIG mulai 25 September hingga 15 Oktober 2018 dan selepas itu, 30 peratus bonus tambahan sehingga hujung tahun,” katanya.

“Selain Citi Malaysia, platform ini akan diperluaskan kepada Citi Thailand dan rakan kewangan serta gaya hidup lain pada masa depan,” katanya.

Teoh berkata, penukaran adalah kaedah paling pantas kepada ahli BIG untuk mendapatkan lebih mata ganjaran.

“Dengan membenarkan ahli menukar mata antara BIG Loyalty dan rakan, kami memberikan kebebasan kepada mereka untuk menentukan bagaimana boleh menggunakan mata ganjaran terbabit tidak kira daripada mana ia diperolehi,” katanya.

Sehingga kini, AirAsia BIG Loyalty mempunyai 20 juta ahli merentasi 130 destinasi di Asia, Australia, New Zealand dan Asia Barat.

scroll to top