Saturday , 15 December 2018

Home » Sukan » Bintang muda julang Three Lions, Rooney ucap selamat tinggal

Bintang muda julang Three Lions, Rooney ucap selamat tinggal

November 16, 2018 11:16 am Category: Sukan A+ / A-
Bintang muda julang Three Lions, Rooney ucap selamat tinggal

Rooney menutup tirai kariernya bersama England. - Foto AFP

LONDON,. Wayne Rooney menutup tirai kariernya bersama England namun pemain muda Three Lions membuktikan pasukan mempunyai masa depan yang cerah apabila menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-0 di Wembley, awal pagi tadi.

Jesse Lingard, Trent Alexander-Arnold dan Callum Wilson yang membuat kemunculan kali pertama, masing-masing meledak gol buat England meskipun Gareth Southgate mempertaruhkan barisan paling tidak berpengalaman.

Namun tumpuan serta sorakan pada hari perlawanan terarah ketika Rooney diperkenalkan, menandakan cap perlawanan ke-120 bersama skuad kebangsaan itu.

Penjaring gol terbaik England dan bekas kapten juga diberikan penghargaan sebelum sepak mula dan diberikan plak yang dihiasi logo keemasan Three Lions oleh kapten, Harry Kane.

Kane duduk sebaris Rooney di bangku simpanan untuk 45 minit awal permainan dan Wilson diberikan peluang untuk membuktikan sesuatu pada penampilan pertamanya itu.

Rooney menerima peluang untuk menambah jaringan antarabangsa ke-53 dan diberi kepercayaan memakai lilitan kapten buat kali terakhir apabila dimasukkan pada minit ke-58. - Foto AFP

Rooney menerima peluang untuk menambah jaringan antarabangsa ke-53 dan diberi kepercayaan memakai lilitan kapten buat kali terakhir apabila dimasukkan pada minit ke-58. – Foto AFP

Pada awal saingan, penyerang Bournemouth itu jelas mengambil kepercayaan pasukan secara positif namun dia terlepas peluang berharga untuk membuka tirai jaringan selepas tidak berjaya melunaskan hantaran Lingard.

Pertahanan Brighton, Lewis Dunk juga membuat kemunculan pertama bersama England dan meskipun jarang menerima asakan dari pihak lawan, satu kealpaan di bahagian belakang hampir membenarkan pelawat mengucar-kacirkan benteng terakhir pasukan.

Dengan Dunk dan Michael Keane didapati ofsaid, Christian Pulisic berjaya memecahkan pertahanan England namun percubaannya dipatahkan penjaga gol, Jordan Pickford.

England pantas mendominasi permainan dengan dua gol awal dijaringkan Lingard menerusi hantaran Dele Alli pada minit ke-25 sebelum Alexander-Arnold menambah jaringan, selang dua minit kemudian.

Seperti dirancang, Rooney menerima peluang untuk menambah jaringan antarabangsa ke-53 dan diberi kepercayaan memakai lilitan kapten buat kali terakhir apabila dimasukkan pada minit ke-58.

Wilson meledak gol ketiga England pada minit ke-77 dan ia adalah detik bernilai buat pemain berusia 26 tahun itu yang sebelum ini bergelut di liga bawahan selain mengalami kecederaan ligamen di kedua-dua bahagian lututnya sebelum ini.

“Malam ini sangat hebat untuk menamatkan karier antarabangsa saya dan kagum dengan prestasi pemain muda. Walaupun saya tak dapat menjaringkan gol saya tetap mengingatinya sepanjang hayat,” katanya.

“Pendapat saya England kini berada dalam tangan yang selamat berdasarkan pemerhatian minggu ini.”

Pasukan kendalian Southgate dijadual bertemu Croatia dalam aksi Liga Negara-Negara Eropah Ahad ini. Croatia meraih kemenangan 3-2 ke atas Sepanyol di Zagreb dan pemenang di Wembley, Ahad ini bakal mara ke peringkat separuh akhir kejohanan. – AFP

scroll to top