Saturday , 23 June 2018

Home » Bisnes » BMW 740Le xDrive cetus dimensi baharu

BMW 740Le xDrive cetus dimensi baharu

December 23, 2017 11:46 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
BMW 740Le xDrive cetus dimensi baharu

SEBUT saja BMW, pastinya ramai mengatakan ia mahal dan hanya yang benar-benar mampu boleh memiliki. Tetapi kepada mereka yang mementingkan gaya dan keselesaan, tanda harga bukanlah sesuatu yang benar-benar dititikberatkan apabila mahu memiliki kejuruteraan Jerman ini.

Baru-baru ini, penulis berpeluang memandu uji BMW 740Le xDrive, varian terkini BMW 7 Series di Malaysia.

Peluang yang ditawarkan BMW Group Malaysia ini membuatkan penulis sangat bersemangat. Apa tidaknya, selepas memandu uji BMW 5 Series, penulis yakin 7 Series lagi hebat dan menakjubkan.

BMW 7 Series Hybrid dengan Teknologi eDrive ini menawarkan inovasi yang mendahului industri daripada BMW i ke dalam limosin mewah dan moden di Malaysia.

BMW 7 Series mendefinisikan semula idea memandu sedan mewah dalam dunia automotif premium, ia juga membawa pulang anugerah World Luxury Car of the Year 2016.

Ia yang tampil dengan Teknologi eDrive bukan saja menetapkan penanda aras yang lebih tinggi, malah menawarkan pelanggan dengan teknologi BMW eDrive paling maju yang telah kami bangunkan melalui kepakaran BMW i.

Menakjubkan apabila, BMW 7 Series Hybrid dengan Teknologi eDrive hadir ke dalam portfolio BMW iPerformance yang ditawarkan oleh BMW Group Malaysia pada masa yang tepat.
FormatFactorybmw3.transformed
Reka bentuk elegan

Gabungan di antara kemewahan moden pada BMW 7 Series dan falsafah masa depan BMW i dijelaskan ke dalam BMW 740Le xDrive, sekali gus menjadikan limosin mewah ini sebagai ikon dan mobiliti yang berpandangan jauh.

Ciri khas yang menyerlahkan keupayaan pemanduan inovatif sebuah BMW 740Le xDrive dengan Teknologi eDrive termasuklah lencana eDrive pada tiang C dan logo BMW i pada panel sisi hadapan limosin ini.

BMW 740Le xDrive hadir dengan penampilan yang hebat menerusi tapak roda dan perkadaran seperti model sebelumnya, seterusnya mengekalkan kedudukannya sebagai model sedan paling besar yang pernah dibina oleh BMW sehingga kini.

Gaya yang elegan itu disempurnakan lagi dengan satu set rim aloi ringan jejari berkembar bersaiz 19 inci.

BMW 740Le xDrive menggabungkan inovasi terbaik enjin pembakaran dalaman dan sistem pacuan elektrik untuk menawarkan prestasi mengujakan bersama penjimatan bahan api serta emisi yang ketara.

Ia dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris bersesaran 2.0 liter dengan kepakaran BMW TwinPower Turbo yang diambil daripada keluarga enjin EfficientDynamics BMW Group, sekali gus menjadikannya enjin paling berkuasa pernah dipasang pada model siri keluaran BMW, enjin pembakaran dalaman itu mampu menjana kuasa maksimum 258hp dengan tork puncak 400Nm.

Dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan yang telah dioptimumkan, BMW 740Le xDrive berupaya mencatat kelajuan maksimum 250km/j.
FormatFactorybm4.transformed
Enjin baharu berkuasa

Enjin baharu itu juga dilengkapi dengan pelbagai teknologi seperti pengecas turbo TwinScroll yang diintegrasikan ke dalam pancarongga ekzos besi tuang, Pancitan Berketepatan Tinggi dengan tekanan maksimum 200 bar, double-VANOS untuk hamburan tork dan kuasa lebih padu, serta versi terkini teknologi VALVETRONIC paling maju.

Manakala kepakaran eDrive pula diambil daripada pengetahuan BMW i yang berpegang kepada prinsip motor segerak. Ini membolehkan kereta mencapai output maksimum 113hp dan tork 250Nm dalam mod pemanduan elektrik sepenuhnya. Jarak pemanduan elektrik BMW 740Le xDrive adalah berdasarkan kepada kitaran 41KM New European Driving Cycle (NEDC).

Diintegrasikan sepenuhnya dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan, motor elektrik juga bertindak sebagai generator yang berfungsi sama ada dengan mengalihkan beban enjin atau menyimpan kembali tenaga ketika membrek, bergantung kepada mod hibrid yang dipilih. Tenaga yang dijana kemudian disalurkan ke dalam bateri bervoltan tinggi.

Gabungan enjin pembakaran dalaman dan sistem pacuan elektrik menawarkan output mencecah 326hp dan tork puncak 500Nm. Hasilnya, pecutan serta merta dan kuasa dinamik setiap kali pedal minyak ditekan. Ini membolehkan sedan plug-in hybrid ini memecut dari 0 – 1000km/j dalam masa hanya 5.3 saat.

Butang eDrive yang diletakkan di konsol tengah membolehkan pemandu menentukan konfigurasi sistem pacuan plug-in hybrid.

Pengalaman Pemanduan Khas dengan mod ADAPTIVE dan BMW xDrive buat pertama kalinya dalam sebuah sedan.

Ruang dalaman mewah, selesa

Reka bentuk yang berpandangan jauh dan fungsi kreatif diserlahkan pada ruang kabin BMW 740Le xDrive.

Atmosfera ruang kabin ini juga diperkaya dengan Rekaan Lampu Ambien yang merangkumi Welcome Light Carpet pada bahagian hadapan pintu depan yang mengalu-alukan kedatangan pemandu dan penumpang ke dalam kereta.

Sementara lampu ambien di dalam kereta pula menawarkan enam warna dan ‘mood’ berbeza.

Sama seperti BMW 7 Series generasi keenam, BMW 740Le xDrive ini turut menampilkan bumbung kaca panoramik Sky Lounge yang dipasang dengan lebih 15,000 butiran lampu LED.

Beralih ke bahagian belakang kereta, unit kawalan BMW Touch Command diletakkan di konsol tengahnya yang menjadi satu lagi inovasi yang mengubah segmen kenderaan mewah.

Dengan tablet bersaiz 7-inci pertama yang boleh dialih keluar dan disambung dengan sistem kenderaan, penumpang kini boleh mengakses semua fungsi hiburan dan ciri keselesaan yang ada.

Aspek keselamatan pula hadir dalam rangkaian peralatan yang merangkumi beg udara hadapan dan sisi, beg udara bahagian kepala/curtain pada tempat duduk hadapan dan belakang, beg udara untuk lutut pemandu, cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX di belakang dan Sistem Perlindungan Aktif – serta banyak lagi.

Turut ditawarkan pada sedan plug-in hybrid mewah ini ialah BMW ConnectedDrive serta pelbagai sistem bantuan pemanduan, termasuk paparan head-up terbaru BMW, Parking Assistant, Driving Assistant Plus dan sistem Surround View.

BMW 740Le xDrive didatangkan dalam warna hitam (Black Sapphire), biru (Imperial Blue), putih (Mineral White) dan kelabu (Sophisto Grey).

Pada bahagian dalam pula, upholsterinya ialah kulit Nappa yang eksklusif bersama kemasan kayu berwarna kelabu (Poplar Grain Grey).

Info:
BMW 740Le xDrive

Harga runcit atas jalan tidak termasuk insurans, merangkumi Jaminan Perbatuan Tanpa Had selama 5 Tahun terkini daripada BMW Group Malaysia, Program Servis Berjadual Percuma dan Program Jaminan

Tayar BMW) untuk BMW 740Le xDrive ialah:

Harga Runcit Sebelum Insentif Kelulusan Hibrid daripada Kerajaan – RM 853,800.00

Insentif Kelulusan Hibrid daripada Kerajaan – RM 255,000.00

Harga Runcit Selepas Insentif Kelulusan Hibrid daripada Kerajaan – RM 598,800.00

scroll to top