Wednesday , 19 September 2018

Home » Nasional » BN dijangka lancar manifesto 7 April

BN dijangka lancar manifesto 7 April

March 14, 2018 1:27 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
BN dijangka lancar manifesto 7 April

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR,. Barisan Nasional (BN) dijangka melancarkan manifesto secara besar-besaran pada 7 April ini, sekali gus memberi bayangan bahawa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU) kemungkinan besar diadakan seawal akhir April atau awal Mei 2018.

Sumber memberitahu bahawa majlis pelancaran itu bakal diadakan di Stadium Putra, Bukit Jalil yang lebih besar berbanding di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Pengerusi BN dijangka melancarkan manifesto itu di hadapan ribuan penyokong BN dari seluruh negara.

Semua 13 pemimpin kanan parti anggota komponen BN, termasuk dari Sabah dan Sarawak, akan turut hadir.

Sahkan majlis pelancaran

Pada PRU-13, Najib melancarkan manifesto BN di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 6 April 2013, iaitu 28 hari sebelum hari mengundi, manakala pada PRU-12, pelancaran manifesto BN dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi di PWTC, pada 28 Februari 2008, 11 hari sebelum mengundi.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa ketika dihubungi wartawan NSTP mengesahkan bahawa majlis pelancaran manifesto BN itu akan diadakan bulan depan, tetapi enggan memberitahu tarikh sebenar serta bentuk pembaharuan yang bakal ditonjolkan dalam manifesto.

Beliau cuma berkata, manifesto berkenaan mengandungi janji dan tawaran dengan matlamat yang jauh lebih baik.

“Tunggu nanti. Tak lama dah (pelancaran manifesto)… akan datang. (Manifesto) yang jauh lebih baik,” katanya.

Sebelum ini, Najib berkata BN akan menjadikan manifesto PRU-14 yang terbaik dalam memperjuangkan nasib rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang.

Istimewa generasi muda

Baru-baru ini, Najib mengumumkan 97.6 peratus daripada janji kerajaan dalam Manifesto BN pada PRU-13 dapat diselesaikan.

Pengerusi BN itu pada April 2013 menyenaraikan 17 janji dalam manifesto BN bertemakan ‘Menepati Janji Membawa Harapan’.

Dikhabarkan juga, antara pembaharuan dalam manifesto kali ini akan ada manifesto istimewa khusus untuk generasi muda buat pertama kalinya oleh BN bawah kepemimpinan Najib.

Menguatkan lagi ura-ura pelancaran manifesto itu apabila BN, terutama UMNO dijangka mengumumkan lebih awal senarai calon yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), sekaligus memecah tradisi yang diamalkan sebelum ini.

Akhbar NSTP semalam memetik sumber sebagai berkata bahawa satu majlis khas kemungkinan diadakan di PWTC di sini untuk semua bakal calon dan Najib dijangka menyampaikan surat watikah sebagai calon kepada mereka terbabit.

scroll to top