Thursday , 15 November 2018

Home » Nasional » BN terbuka, hormati keputusan parti Sarawak

BN terbuka, hormati keputusan parti Sarawak

June 13, 2018 5:23 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
BN terbuka, hormati keputusan parti Sarawak

Datuk Dr Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) bersikap terbuka dan menghormati keputusan empat parti di Sarawak yang keluar daripada gabungan itu.

Penolong Setiausaha Wanita BN, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata sungguhpun keputusan terbabit memberi kesan terhadap BN secara keseluruhan, gabungan itu menghargai cara berpolitik matang.

Bagaimanapun, pihaknya tidak berselindung dan menzahirkan kesedihan atas perkara itu kerana ia memberi kesan kepada BN di Dewan Rakyat, apatah lagi selepas Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengumumkan akan bekerjasama dengan kerajaan.

“Walaupun pahit dan rasa dipinggirkan dalam keadaan yang sukar ketika ini, BN akan terus mencari kekuatan untuk bangkit semula.

“Kita sedar akan impak keputusan ini kepada kedudukan BN sebagai pembangkang di Dewan Rakyat, maka Wanita BN meminta pucuk kepimpinan parti untuk membincangkan kaedah terbaik untuk membela kepentingan rakyat kelak,” katanya menerusi satu kenyataan, di sini, hari ini.

Pagi tadi, Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengumumkan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) keluar dari BN dan keempat-empat parti itu mewujudkan gabungan baharu, GPS.

Dalam perkembangan yang sama, Noraini berkata, situasi itu turut membentangkan cabaran kepada UMNO yang sedang memfokuskan ke arah kebangkitan semula parti bermula dengan pemilihan barisan kepimpinan baru.

“Bagaimanapun saya percaya ia tidak akan mematahkan semangat ahli-ahli UMNO dan saya menyeru semua ahli-ahli parti supaya turut menerima secara baik keputusan Sarawak itu.

“Kepada rakan-rakan Wanita BN di Sarawak, saya berharap hubungan baik dan akrab yang kita jalinkan selama ini dapat diteruskan walaupun dalam landskap politik yang berbeza kini.

“Walaupun kita tidak lagi diikat dalam kesatuan BN, matlamat kita masih sama iaitu menjalankan amanah membela rakyat,” katanya.

scroll to top