Wednesday , 24 October 2018

Home » Nasional » BN tiada masalah MCA guna logo sendiri

BN tiada masalah MCA guna logo sendiri

August 11, 2018 10:45 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
BN tiada masalah MCA guna logo sendiri

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

SEREMBAN,. Keputusan MCA untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, tidak membuktikan Barisan Nasional (BN) di ambang perpecahan.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pemimpin BN termasuk UMNO dan MCA memang sudah berbincang secara lisan sebelum ini untuk membolehkan MCA bertanding menggunakan logo parti itu.

“Kita tiada masalah MCA nak bertanding guna logo sendiri. Isnin ini kita akan adakan mesyuarat untuk menjadikan keputusan itu sebagai rasmi kerana dalam BN kita membuat keputusan bersama-sama,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohamad berkata, langkah menggunakan logo sendiri bagi menghadapi PRK adalah antara pembaharuan yang perlu dicuba parti komponen BN untuk menguji penerimaan pengundi selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, pada PRK DUN Sungai Kandis baru-baru ini, UMNO juga pada awalnya bercadang menggunakan logo sendiri, namun terpaksa membuat perubahan kerana mempertimbangkan bilangan pengundi bukan Melayu yang ramai di kawasan itu.

“Sebenarnya tidak timbul isu BN mahu berpecah, ini sebenarnya peluang. Ada baiknya parti komponen mula guna logo sendiri untuk uji kaji penerimaan pengundi, malah UMNO juga akan guna logo sendiri pada PRK jika keadaan bersesuaian,” katanya.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, hari ini, mengumumkan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRK DUN Balakong dan turut dilaporkan berkata, MCA memutuskan untuk ‘berdiri atas kaki sendiri’.

Tiong Lai juga dilaporkan berkata, BN hanya wujud pada nama, tapi realitinya sudah mati, apabila ditanya sama ada MCA akan keluar daripada BN.

Mohamad, ketika mengulas mengenai komen Tiong Lai itu berkata, keputusan mengenai masa depan BN perlu diputuskan secara bersama.

“BN ini tidaklah mati. Tapi kalau (beliau) anggap sudah mati, kita tengoklah macam mana nanti. Kita akan bincang bersama-sama masa depan BN.

Kalau nak terus, terus… sebab dalam BN, kita ada banyak parti komponen,” katanya yang enggan mengulas apabila ditanya jika MCA memang berhasrat keluar daripada BN.

scroll to top