Saturday , 25 May 2019

Home » Nasional » BN tidak akan letak calon di PRK Sandakan – Mohamad

BN tidak akan letak calon di PRK Sandakan – Mohamad

April 23, 2019 7:55 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
BN tidak akan letak calon di PRK Sandakan – Mohamad

Datuk Seri Mohamad Hasan.

KUALA LUMPUR,. Barisan Nasional (BN) tidak akan meletakkan calonnya untuk bertanding di Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan pada bulan depan, kata Pemangku Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Mohamad berkata, keputusan dibuat kerana BN masih belum bersedia untuk menyertai mana-mana PRK di Sabah selepas mereka kehilangan negeri berkenaan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bagaimanapun, Mohamad berkata BN sedia menyokong mana-mana parti pembangkang lain mesra BN yang berhasrat bertanding pada PRK Sandakan dijadual pada 11 Mei depan.

“Kita akan mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tertinggi BN sekali lagi selepas hari penamaan bagi menentukan calon dari parti pembangkang Sabah mana yang bakal kita sokong pada PRK Sandakan nanti.

“Kita juga tidak akan menghalang ahli parti komponen yang berminat bertanding di PRK Sandakan, namun seperti biasa sesiapa yang berbuat demikian bakal berdepan tindakan disiplin dan dipecat dari parti kerana melanggar keputusan dibuat oleh barisan kepemimpinan tertinggi BN, ” katanya pada sidang selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi BN di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong serta Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Terdahulu, Mohamad berkata, mesyuarat berkenaan juga berpuas hati dengan prestasi dan kerjasama antara parti komponen BN menjayakan kempen pada PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, sebelum ini.

Mohamad berkata, biarpun BN berjaya meraih kemenangan dalam tiga PRK berturut-turut termasuk di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau, namun semua parti komponen perlu bekerja keras bagi menghadapi PRU-15 nanti.

Sementara itu, Mohamad juga mengesahkan UMNO dan PAS kini di peringkat akhir untuk menyiapkan kerangka kerjasama antara kedua-dua parti untuk dimuktamadkan di peringkat pemimpin tertinggi masing-masing dalam tempoh terdekat.

“Kerangka kerja kerjasama UMNO-PAS kini hampir siap dan akan dibincangkan di peringkat jawatankuasa teknikal, tidak lama lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad berkata, BN turut mengutuk keras serangan bom yang mengorbankan beratus nyawa tidak berdosa di Sri Lanka, kelmarin.

scroll to top