Tuesday , 19 June 2018

Home » Nasional » BN waspada budaya ‘peteh keting’

BN waspada budaya ‘peteh keting’

March 14, 2018 1:30 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
BN waspada budaya ‘peteh keting’

KUALA TERENGGANU: Sebaik Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), bermulalah juga episod ‘peteh keting’ atau budaya ‘caras’ yang menjadi ancaman dalam mana-mana parti politik di negara ini.

Bagaimanapun, sebagai sebuah parti paling dominan berbanding PAS dan Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai parti yang paling banyak akan merasai kesannya.

Jika dalam perlawanan bola sepak, tindakan ‘peteh keting’ yang bermaksud mahu menumbangkan lawan atau pesaing dilihat berlaku antara pemain dalam pasukan lawan.

Bagaimanapun, lain pula halnya dalam arena politik kerana ‘peteh keting’ berlaku apabila calon lain dipilih pucuk pimpinan mewakili parti dalam PRU, sekali gus melenyapkan impian calon ‘wannabee’ (menaruh harapan) untuk bertanding.

Ia berlaku dalam setiap PRU tanpa gagal. Pada 2004, ia berlaku dalam skala paling rendah buat BN, tetapi merosakkan PAS pada PRU-12 tahun itu.

Dalam PRU-14, spekulasi mengenai siapa yang akan menjadi calon bertebaran di sana sini, malah di luar jangka, kerana dalam kalangan mereka ada yang tidak terkenal di dalam parti, tetapi gigih ‘mengeksploitasi’ diri sebagai bakal calon.

Kesan buruk

Peteh keting datang dalam banyak aspek dan kesan buruknya hanya boleh diketahui selepas hari mengundi, tetapi cerita mengenainya kebiasaannya terungkap selepas penamaan calon.

Petanda pertama boleh dilihat daripada semangat jentera parti untuk bekerja selepas calon dinamakan.

Di bilik gerakan parti boleh dilihat lampu dinyalakan, tetapi tiada yang bekerja atau gelap seolah-olah terbengkalai.

Di sinilah bermulanya proses serius oleh parti untuk menggerakkan ahli memujuk mereka yang ‘merajuk’ dan enggan bekerja untuk membantu memenangkan calon yang dinamakan. Kebiasaannya sudah tentu khidmat ahli veteran digunakan untuk tujuan ini.

Kedua, perang bendera parti akan jelas kelihatan di sepanjang jalan terutama sebelum hari penamaan calon, namun semuanya boleh berubah di satu-satu kawasan selepas proses penamaan calon.

Bendera parti

Di Terengganu, bendera BN dan PAS lazimnya menguasai sekitar jambatan dan jalan utama di negeri ini.

Ketiga, jumlah pemilih yang keluar mengundi mungkin rendah disebabkan kegagalan jentera parti yang dipimpin ahli yang diselubungi rasa tidak puas hati melunaskan tugas berkempen meraih undi.

Seorang pemerhati politik berkata, peteh keting tidak dapat dielakkan kerana parti tentu sekali tidak dapat memuaskan keinginan semua orang untuk menjadi calon pada PRU.

“Di Terengganu kita ada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri dan lapan kerusi Parlimen. Yang mengimpikan untuk jadi calon bagi satu-satu kerusi itu bukannya seorang, tetapi ramai. Apa yang kita boleh lakukan hanya kawal situasi itu daripada menjadi barah dan bencana kepada parti,” katanya.

Untuk nota, hampir semua 32 kerusi DUN di Terengganu dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 dan ini membuatkan setiap undi itu sangat bernilai untuk setiap parti dan ‘peteh keting’ itu sememangnya satu ancaman sebenar untuk setiap parti politik.

Apa pun, kerana peteh ketinglah Terengganu dikenali sebagai sebuah negeri yang kerajaannya begitu mudah bertukar ganti.

scroll to top