Thursday , 20 June 2019

Home » Bisnes » Boeing 737 MAX terus terdampar

Boeing 737 MAX terus terdampar

June 13, 2019 11:49 am Category: Bisnes, Dunia A+ / A-
Boeing 737 MAX terus terdampar

Pesawat 737 MAX di kilang Boeing di Renton, Washington.

BENGALURU,. Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) berkata ia tidak mempunyai jadual waktu tertentu bila pesawat bermasalah 737 MAX yang dikeluarkan Boeing Co akan kembali beroperasi selepas dua kemalangan maut yang menjurus kepada ia direhatkan di seluruh dunia sejak Mac lalu.

Jurucakap FAA, Greg Martin, berkata agensi itu tidak mempunyai “jadual waktu” khusus untuk membenarkan 737 MAX menyambung semula penerbangan dan akan bertindak “hanya bila mana ia selamat untuk kembali berkhidmat”.

Bloomberg sebelum ini melaporkan bahawa pesawat 737 MAX akan kembali beroperasi pada Disember, memetik seorang pegawai keselamatan FAA.

Boeing tidak segera memberi maklum balas ke atas permintaan untuk mendapatkan penjelasan lanjut, dan tidak juga memberi tempoh masa bila pesawat itu akan kembali berkhidmat.

Boeing tidak dijangka menyerahkan perisian yang di naik taraf kepada FAA minggu ini atau menjalankan penerbangan ujian pengesahan rasmi yang diperlukan sebelum ia dapat mengemukakan perisian dan latihan yang di naik taraf itu bagi mendapatkan kelulusan, demikian menurut dua sumber yang dimaklumkan berhubung perkara itu kepada Reuters.

FAA sebelum ini mendedahkan masalah baharu membabitkan pesawat 737 MAX.

Ia berkata, lebih 300 pesawat yang bermasalah itu dan generasi 737 terdahulu mungkin mengandungi bahagian-bahagian yang dibuat secara tidak betul dan agensi itu mahu ia diganti secepat mungkin.

Pesawat 737 MAX direhatkan di seluruh dunia pada Mac susulan kemalangan maut Ethiopian Airlines selepas bencana sama melanda Lion Air di Indonesia pada Oktober.

Kedua-dua kemalangan itu meragut 346 nyawa. – Reuters

scroll to top