Sunday , 16 December 2018

Home » Nasional » Budaya berpolitik lemahkan orang Melayu – Sultan Nazrin

Budaya berpolitik lemahkan orang Melayu – Sultan Nazrin

December 7, 2018 2:15 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Budaya berpolitik lemahkan orang Melayu – Sultan Nazrin

Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan hadir pada majlis penyampaian watikah Ahli-Ahli Majlis Agama Islam, Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Melaka,/gambar Fail

MELAKA,. Pemangku Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, bertitah budaya politik yang melanda negara ketika ini dilihat melemahkan perpaduan orang Melayu.

Titah baginda, budaya terbabit menyebabkan umat Melayu Islam kini terperangkap dalam perlumbaan menconteng arang sesama sendiri apabila masing-masing ghairah menepuk air di dulang dan airnya semakin terpercik ke muka sendiri.

Baginda bertitah, hal itu membuatkan umat Melayu semakin lemah dan hilang semangat ukhuwah apabila masing-masing hanyut dalam perlumbaan kebendaan, selain mabuk dilambung gelombang persaingan kuasa.

“Budaya berpolitik di bumi warisan bangsa ini, menjelmakan ketaksuban baharu, menghidupkan budaya asabiah, menganjurkan pemikiran lebih mengutamakan kesetiaan kepada kumpulan.

“Sepatutnya, budaya menerima kebenaran diutamakan bagi meneruskan kelangsungan ummah yang lebih menyeluruh,” titah baginda pada majlis penyampaian watikah Ahli-Ahli Majlis Agama Islam, Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Melaka, di Hotel Equatorial, Bandar Hilir, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menganugerahkan watikah kepada 15 ahli Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan 21 Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah negeri ini.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob; Ahli Jemaah Pemangku Raja Perak, Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin dan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Dalam pada itu, Sultan Nazrin bertitah, rakyat perlu menjadikan titik-titik hitam sejarah kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka suatu ketika dahulu sebagai renungan supaya ia tidak berulang pada masa akan datang.

Baginda bertitah, amanat itu dizahirkan ayahanda baginda, Almarhum Sultan Azlan Shah semasa berangkat ke negeri ini pada 12 Julai 1990, merupakan peringatan yang kekal dan wajib dijadikan renungan.

Titah baginda, meskipun sudah 28 tahun berlalu, amanat Almarhum itu wajar dijadikan pedoman kepada semua umat Islam di bumi ini.

“Sultan Azlan Shah mangkat pada 28 Mei 2014. Kata-kata yang dizahirkan lebih 28 tahun lalu itu merupakan peringatan yang kekal hidup.

“Ia wajib dijadikan renungan, supaya umat Islam di bumi ini, tidak tercicir yang dikendong, tidak berakhir dengan menang menjadi arang – kalah menjadi abu, kerana kecenderungan untuk terus bersengketa,” titah baginda.

scroll to top