Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

Bursa Malaysia dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan bagi bulan Mei dengan dibuka rendah pagi ini sejajar dengan prestasi lemah di Wall Street pada Jumaat minggu lalu.

Pada 9.07 pagi, indeks utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 29.35 mata atau 2.09 peratus kepada 1,378.43 daripada paras penutup 1,407.78 pada Jumaat.

Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 486 berbanding 75, manakala 202 kaunter tidak berubah, 1,106 tidak diniagakan dan 17 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 419.38 juta saham bernilai RM181.48 juta.

Sentimen pasaran terjejas oleh situasi perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China yang tercetus semula apabila Presiden AS, Donald Trump mengenakan semula ancaman ke atas China dengan mendakwa negara itu menyebarkan pandemik COVID-19 dan mengancam tarif perdagangan.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiTrade, Stephen Innes, berkata penyambungan semula perang perdagangan akan menjejaskan harga minyak bagi tempoh jangka masa panjang.

“Bagaimanapun dengan permintaan yang masih belum pulih, sebarang petanda pengimbangan semula sama ada menerusi pembukaan semula ekonomi atau pengurangan lagi bekalan, dijangka menyokong harga minyak pada paras semasa,” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Penanda aras harga minyak mentah Brent, turun 2.72 peratus kepada AS$25.72 setong.

Di pasaran tempatan, dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank turun 20 sen kepada RM7.37, TNB susut 12 sen kepada RM12.12, Public Bank berkurangan 30 sen kepada RM16.08, IHH Healthcare jatuh 14 sen kepada RM5.11, Petronas Chemicals turun 16 sen kepada RM5.44 manakala Maxis susut lapan sen kepada RM5.40.

Dalam kalangan kaunter cergas, Key Alliance, Hibiscus Petroleum dan Ekovest semuanya turun setengah sen masing-masing kepada sembilan sen, 48.5 sen dan 48.5 sen, manakala Sapura Energy, Hubline dan Xidelang tidak berubah pada 8.5 sen, 5.0 sen dan 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 174.7 mata kepada 9,633.88, Indeks FBMT 100 susut 172.71 mata kepada 9,504.5, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 190.71 mata kepada 10,699.43, FBM ACE jatuh 74.62 mata kepada 4,720.48 manakala FBM 70 jatuh 88.03 mata kepada 11,572.2.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 232.67 mata kepada 12,240.24, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 2.42 mata kepada 118.02 manakala Indeks Perladangan jatuh 142.93 mata kepada 6,218.09.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)