Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini sejajar dengan prestasi Wall Street yang memberangsangkan dalam tempoh semalaman, apabila pembukaan kembali aktiviti ekonomi di seluruh dunia telah melonjakkan keyakinan pelabur, kata peniaga.

Pada 9.08 pagi, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 13.11 mata kepada 1,551.64 daripada 1,538.53 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka 3.16 mata lebih kukuh kepada 1,541.69.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 322 berbanding 154, sementara 234 kaunter tidak berubah, 1,182 kaunter tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 623.89 juta unit bernilai RM310.31 juta.

Public Investment Bank Bhd menerusi nota penyelidikan berkata FBM KLCI dibuka lebih kukuh selepas indeks saham Amerika Syarikat ditutup tinggi pada Rabu.

Indeks-indeks tersebut juga merekodkan beberapa sesi kenaikan setelah data ekonomi menunjukkan kesan akibat pandemik COVID-19 adalah tidak begitu teruk berbanding yang dibimbangkan, sekali gus mendorong petunjuk pasaran ekuiti utama berada di paras paling tinggi sejak awal Mac.

Purata Perindustrian Dow Jones naik 2.1 peratus untuk ditutup pada 26,269.89 manakala S&P 500 menokok 1.4 peratus bagi mengakhiri dagangan pada 3,112.87.

Prestasi Wall Street dalam tempoh semalaman juga meningkat serta-merta mendorong indeks serantau mencatatkan dagangan lebih tinggi.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank melonjak 18 sen kepada RM8.16, Tenaga meningkat enam sen kepada RM12.04, Public Bank menambah lapan sen kepada RM17.46, Petronas Chemicals menokok 12 sen kepada RM6.65 dan IHH Healthcare naik tujuh sen kepada RM5.57.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 99.71 mata kepada 10,902.78, Indeks FBMT 100 meningkat 94.22 mata kepada 10,756.84, Indeks FBM Emas Syariah menokok 59.3 mata kepada 12,190.02, FBM 70 melonjak 130.44 mata kepada 13,336.21 dan FBM ACE menambah 49.00 mata kepada 5,746.21.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.73 mata kepada 136.53, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 365.7 mata kepada 13.967.59 dan Indeks Perladangan meningkat 34.27 mata kepada 6,830.93.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)