Thursday , 20 September 2018

Home » Bisnes » Bursa Malaysia dibuka tinggi

Bursa Malaysia dibuka tinggi

August 17, 2018 11:07 am Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Bursa Malaysia dibuka tinggi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi hari ini, disokong oleh minat belian dalam kebanyakan saham berwajaran tinggi dan saham rendah yang diketuai oleh saham berkaitan kewangan, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) adalah 3.91 mata lebih tinggi pada 1,781.18 dari penutupan 1,777.27 pada Khamis.

Indeks dibuka 3.37 mata lebih kukuh pada 1,780.64.

Di pasaran yang lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 245 berbanding 44 dengan 164 kaunter tidak berubah, 1,428 tidak diniagakan dan 32 yang lain digantung.

Jumlah dagangan ialah 123.16 juta unit bernilai RM51.44 juta.

Public Investment Bank Bhd dalam nota penyelidikan hari ini berkata, indeks yang lebih tinggi menjejaki saham Amerika Syarikat (AS) dan Eropah yang lebih tinggi semalaman.

Ini berlaku selepas selera risiko global menunjukkan peningkatan kukuh seperti harapan untuk mengurangkan ketegangan perdagangan AS-China dan pemulihan untuk lira Turki, membantu menenangkan kebimbangan mengenai prospek bagi pasaran baharu muncul.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd berkata, jika sentimen pasaran terus bertambah baik, rintangan dapat dikenalpasti pada tahap 1,800 dan mungkin 1,830.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank naik satu sen kepada RM9.80, Public Bank dan CIMB masing-masing naik dua sen kepada RM24.50 dan RM5.90. Tenaga meningkat empat sen kepada RM15.78, manakala Petronas Chemicals tidak berubah pada RM9.24.

Bagi saham aktif, KAB meningkat empat sen kepada 29.5 sen, Borneo Oil tidak berubah pada enam sen, manakala Pesona menokok 1.5 sen kepada 30.5 sen.

Indeks FBM Emas naik 32.71 mata kepada 12,611.44, Indeks FBMT100 naik 30.07 mata kepada 12,378.09 dan FBM 70 meningkat 48.19 mata kepada 15,386.66.

Indeks FBM Emas Shariah naik 33.44 mata kepada 12,768.29 dan FBM Ace 29.57 mata lebih tinggi pada 5.552.61.

Dari segi sektor, Indeks Kewangan naik 25.11 mata kepada 17,414.33, Indeks Perladangan meningkat 3.21 mata pada 7,574.85, tetapi Indeks Perindustrian berkurangan 9.77 mata kepada 3,214.48

– BERNAMA

scroll to top