Friday , 21 June 2019

Home » Bisnes » Bursa Malaysia tinggi pada awal dagangan

Bursa Malaysia tinggi pada awal dagangan

April 19, 2019 11:10 am Category: Bisnes, Ekonomi, Nasional A+ / A-
Bursa Malaysia tinggi pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sedikit pada sesi awal dagangan hari ini ketika minat belian sederhana terhadap saham wajaran tinggi terus ketara dan didahului oleh Petronas Chemicals dan Maybank.

Pada 9.20 pagi, indeks penanda aras itu menokok 0.66 mata kepada 1,620.39 selepas dibuka 0.91 mata kepada 1,620.64.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 176 berbanding 82 manakala 212 kaunter lain tidak berubah, 1,438 tidak diniagakan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 311.0 juta saham bernilai RM179.04 juta.

Sementara itu, Maybank Investment Bank menerusi nota penyelidikannya berkata aktiviti membeli saham pada harga rendah itu berkemungkinan akan diteruskan pada hari ini, terutamanya membabitkan saham yang terjejas teruk baru-baru ini.

“Dari sudut teknikal, kami menjangkakan FBM KLCI akan terus berada dalam lingkungan 1,610 dan 1,640 hari ini manakala sokongan lebih rendah pada paras 1,615 dan 1,600,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Petronas Chemicals untung enam sen kepada RM8.99, Maybank naik tiga sen kepada RM9.03, CIMB menokok dua sen kepada RM5.07 dan PPB Group menambah 10 sen kepada RM18.90.

IHH Healthcare dan Hong Leong Bank pula masing-masing tidak berubah pada RM5.48 dan RM19.94 manakala Public Bank rugi enam sen kepada RM22.52, TNB turun dua sen kepada RM12.14 dan Maxis kehilangan satu sen kepada RM5.40.

Bagi saham cergas, Iskandar Waterfront untung 7.5 sen kepada 93.5 sen, Ekovest naik tiga sen kepada 62 sen, Sapura Energy dan Vsolar Group masing-masing tidak berubah pada 31.5 sen dan 15 sen manakala KNM susut satu sen kepada 15.5 sen dan Seacera rugi 1.5 sen kepada 32 sen.

Indeks FBM Emas pula naik 8.72 mata kepada 11,475.84, Indeks FBMT 100 menambah 7.08 mata kepada 11,305.17 dan Indeks FBM Ace meningkat 7.22 mata kepada 4,671.7.

Indeks FBM Emas Syariah menokok 4.01 mata kepada 11,685.88, dan FBM 70 meningkat 19.24 mata kepada 14,325.37.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan susut 2.41 mata kepada 7.216.27, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 25.22 mata kepada 16,709.58 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri menambah 0.33 mata kepada 168.14. – BERNAMA

scroll to top