Thursday , 13 December 2018

Home » Bisnes » Bursa Saham meningkat pada pagi

Bursa Saham meningkat pada pagi

October 10, 2018 12:09 pm Category: Bisnes, Ekonomi A+ / A-
Bursa Saham  meningkat pada pagi

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia meningkat semula apabila dibuka lebih tinggi hari ini, didorong oleh minat belian baharu di pasaran.

Pada jam 9.10 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.82 mata kepada 1,777.97 daripada 1,774.15 pada Selasa selepas dibuka 7.57 mata lebih tinggi kepada 1,781.72.

Di papan skor, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 146 berbanding 94 manakala 160 lain tidak berubah, 1,473 kaunter tidak didagangkan dan 17 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 149.55 juta unit bernilai RM88.27 juta.

Sementara itu, Maybank Investment Bank menjangkakan FBM KLCI akan didagangkan dalam lingkungan 1,765 dan 1,795 pada hari ini dengan sokongan penurunan sekitar paras 1,760 dan 1,740.

“Walaupun pasaran semalaman Amerika Syarikat (AS) memberi isyarat bercampur-campur, namun harga minyak yang lebih tinggi dapat memberi sokongan kepada sentimen tempatan yang lemah dan bakal menyaksikan kehadiran pelabur yang mencari saham pada harga rendah,” katanya dalam nota penyelidikan, hari ini.

Pasaran AS ditutup bercampur-campur dengan Indeks Dow Jones Industrial Average dan S & P 500 jatuh selepas hasil bon Perbendaharaan mencecah paras tertinggi dalam beberapa tahun manakala Nasdaq ditutup tinggi sedikit berikutan kenaikan diraih oleh kaunter teknologi.

Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi menyaksikan TNB untung dua sen kepada RM15.40, Petronas Chemicals meningkat enam sen kepada RM9.43, Hong Leong Bank naik 22 sen kepada RM20.82, IHH Healthcare pula tidak berubah pada RM5.29, Maybank dan CIMB susut satu sen masing-masing kepada RM9.64 dan RM6.03 manakala Public Bank rugi empat sen kepada RM24.92.

Bagi saham aktif, Gamuda naik enam sen kepada RM2.44, Borneo Oil menokok setengah sen kepada enam sen, Ho Wah Genting bertambah satu sen kepada 17.5 sen, Nova MSC tidak berubah pada 17.5 sen, AirAsia X berkurangan 1.5 sen kepada 26.5 sen, Sapura Energy turun setengah sen kepada 37 sen manakala Hibiscus Petroleum dan Inari Amertron masing-masing jatuh satu sen kepada RM1.29 dan RM2.27.

FBM 70 pula menokok 15.23 mata kepada 14,288.01, Indeks FBM Emas Shariah meningkat 36.08 mata kepada 12,396.72 dan Indeks FBM Ace sebaliknya turun 4.80 mata kepada 5,183.81.

Indeks FBM Emas meningkat 22.81 mata kepada 12,326.73 dan Indeks FBMT 100 menambah 23.01 mata kepada 12,141.69.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 22.84 mata kepada 17,701.53, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri meraih 0.67 mata kepada 175.73 manakala Indeks Perladangan menambah 14.05 mata kepada 7,509.35.

— BERNAMA

scroll to top