Saturday , 25 May 2019

Home » Bisnes » Cabaran keselamatan siber harus diubah sebagai peluang

Cabaran keselamatan siber harus diubah sebagai peluang

April 24, 2019 7:31 am Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
Cabaran keselamatan siber harus diubah sebagai peluang

CYBERJAYA,. Ekosistem inovasi kebangsaan perlu dibangunkan bagi mengubah cabaran keselamatan siber ke arah peluang, idea dan penyelesaian baharu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata kerjasama yang lebih rapat antara industri, penyelidik dan kerajaan juga penting bagi menggalakkan pembangunan produk dan perkhidmatan bertaraf dunia dalam sektor keselamatan siber.

Katanya banyak potensi bagi perniagaan kecil dan sederhana serta organisasi besar di Malaysia, untuk berkembang pesat di era digital ekonomi baharu ini.

“Maka kita harus mengembeling ketahanan dan kepakaran di dalam ‘cybersecurity intelligence’, mewujudkan kerjasama dan kepimpinan peringkat antarabangsa untuk memacu lebih banyak organisasi keselamatan siber tempatan dan pemain industri menjadi lebih kompetitif,” katanya.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Operasi) Kementerian Komunikasi dan Multimedia Tan Chan Ou, pada Majlis Pelancaran CyberSecurity Malaysia Collaboration Programme (CCP) di sini malam ini.

Katanya CCP telah dibangunkan CyberSecurity Malaysia sebagai inisiatif pendekatan bagi kerjasama di antara pihak industri keselamatan siber di Malaysia.

“CCP merupakan satu program strategik yang memangkin kerjasama di antara pemain industri keselamatan siber tempatan dan kerajaan, dalam pembangunan inovasi produk dan perkhidmatan keselamatan siber; yang mana secara tidak langsung akan dapat mengukuhkan ekosistem keselamatan siber di Malaysia,” katanya.

Menteri berkata berdasarkan inisiatif yang telah dilaksanakan sejak 2014, lebih 60 organisasi telah pun mendaftar sebagai rakan berdaftar dan angka ini dijangka meningkat melebihi 100 organisasi menjelang 2020.

Katanya antara program yang dijalankan di bawah CCP termasuklah sesi dialog bersama industri, yang mengambil kira pandangan dan maklum balas terus daripada pihak industri keselamatan siber di Malaysia.

— BERNAMA

scroll to top