Saturday , 23 June 2018

Home » Nasional » Calon di Melaka kena saringan kesihatan –

Calon di Melaka kena saringan kesihatan –

January 13, 2018 3:42 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Calon di Melaka kena saringan kesihatan –

Datuk Seri Idris Haron.

MELAKA,. Ujian saringan kesihatan menjadi antara syarat utama untuk menjadi calon bagi Barisan Nasional (BN) Melaka pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Beliau berkata, kriteria itu ditetapkan bagi memastikan calon yang akan mewakili parti benar-benar dapat memberi komitmen dalam menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

“Sudah pasti ujian saringan kesihatan itu antara syarat utama bagi mana-mana individu sebelum boleh ditampilkan sebagai calon terbaik BN Melaka.

“Di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen, kita sudah memberikan sekurang-kurangnya enam calon kepada barisan kepemimpinan parti untuk dipilih. Di mana, kriteria dari segi kedudukan kesihatan calon yang turut diambil kira,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Karnival Rakyat Jom Sihat 1Malaysia anjuran Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka, di sini, hari ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Othman Muhamad.

Pada majlis itu, lebih 5,000 pengunjung memeriahkan sambutan Program Karnival Rakyat Jom Sihat 1Malaysia termasuk menyertai larian sejauh tiga kilometer, pemeriksaan kesihatan percuma serta jualan produk kecantikan.

Sementara itu, Idris turut melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan yang meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta bagi pembinaan penyediaan projek Pusat Kesihatan Malaysia seluas 6.4 hektar di Alor Gajah.

“Saya cukup bangga apabila Melaka dipilih oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bagi pembinaan sebuah Pusat Kesihatan Malaysia, seterusnya dapat melatih serta menyediakan tenaga mahir dalam bidang kesihatan.

“Kita juga akan bekerjasama dengan Institut Jantung Negara (IJN) bagi cadangan pembinaan Mini IJN di Kampung Enam, Melaka untuk prapemeriksaan serta pasca rawatan sakit jantung,” katanya.

scroll to top