Saturday , 18 November 2017

Home » Nasional » Calon Pilihan Rakyat Jadi Keutamaan Pada PRU14 -Liow Tiong Lai.

Calon Pilihan Rakyat Jadi Keutamaan Pada PRU14 -Liow Tiong Lai.

October 23, 2017 6:42 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Calon Pilihan Rakyat Jadi Keutamaan Pada PRU14 -Liow Tiong Lai.

Datuk Seri Liow Tiong Lai.

SEREMBAN, 23 Okt MCA akan meletakkan calon pilihan rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bagi membawa suara masyarakat itu di peringkat kerajaan negeri dan pusat, kata Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata MCA sentiasa membuat tinjauan tentang calon yang boleh buat kerja dan disenangi masyarakat setempat bagi memastikan keputusan terbaik dapat dibuat untuk kaum Cina.

“Kami sudah senarai pendek calon, dan kami sentiasa berbincang bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga di peringkat pusat bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (selaku pengerusi Barisan Nasional (BN)) .

“Banyak isu komuniti Cina dalam negeri ini dapat diselesaikan dalam semangat Barisan Nasional walaupun kami (MCA) tiada wakil dalam kerajaan negeri,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung MCA Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Perhubungan BN Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA Negeri Sembilan Datuk Seri Lim Chin Fui dan Ketua Pemuda MCA Datuk Chong Sin Woon.

Liow yang juga Menteri Pengangkutan berkata amat penting bagi MCA memenangi kerusi bagi memastikan suara masyarakat Cina dapat dibawa dalam kerajaan negeri dan pusat.

“MCA kena pastikan rakyat dapat bersama-sama untuk memajukan negara kita dan apa yang diperjuangkan nenek moyang kita seperti sekolah Cina dapat diteruskan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Besar berkata MCA perlu bekerja keras bagi memastikan masyarakat terutamanya kaum Cina merasai kehadiran mereka.

“Bila kita sentiasa ada di lapangan dan dalam masyarakat, orang akan selesa dengan kita dan menyokong lalu meletakkan kepercayaan untuk kita tubuh kerajaan.

“Keyakinan rakyat kepada BN sudah tinggi, jadi kita mesti menyambut keyakinan ini dengan bekerja lebih kuat untuk rakyat dan rakyat akan terus bersama-sama dengan kita,” katanya.

Mohamad berkata MCA perlu meletakkan calon yang sesuai kerana pada masa kini calon yang menentukan kemenangan sesebuah parti dalam pilihan raya umum.

“Calon yang sesuai dan baik akan mengukuhkan keyakinan orang pada parti,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top