Friday , 17 August 2018

Home » Nasional » Calon terbabit salah laku, ditarik pencalonan – JPP

Calon terbabit salah laku, ditarik pencalonan – JPP

August 11, 2018 10:30 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Calon terbabit salah laku, ditarik pencalonan – JPP

KUALA LUMPUR: Calon yang didapati melakukan salah laku dalam pemilihan parti akan berdepan tindakan ditarik semula pencalonan, digantung keahlian atau dipecat dari parti berdasarkan pertimbangan oleh panel jawatankuasa bantahan, rayuan dan disiplin.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR, Dr Adzman Hedra berkata jawatankuasa itu juga komited memastikan pemilihan parti kali ini sihat dan bersih dari sebarang penyalahgunaan kuasa dalam usaha meraih kemenangan.

“Calon atau ahli JPP yang melakukan sebarang salah laku yang cenderung ke arah meraih undian dengan cara ‘kotor’ akan dikenakan tindakan.

“Kami JPP, memegang amanat bakal Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu calon tidak menyalahgunakan kuasa mereka dalam meraih sokongan, juga ahli JPP dituntut bertindak bersih sepanjang pemilihan berlangsung,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Semalam Anwar yang menang tanpa bertanding jawatan presiden parti mengarahkan JPP memantau calon yang bertanding supaya tidak menyalah guna kuasa dalam usaha meraih kemenangan dalam pemilihan parti itu.

Anwar dilaporkan berkata ia termasuk mereka yang mempunyai jawatan tinggi seperti menteri, menteri besar dan EXCO kerajaan negeri supaya mereka tidak menggunakan kedudukan untuk memujuk atau mengugut mana-mana anggota parti untuk meraih sokongan.

Adzman berkata calon perlu berkempen menggunakan kekuatan sendiri dan digalakkan berkempen secara individu dan bukannya secara berkumpulan.

“Kita juga galakkan pihak yang mempunyai maklumat mengenai sebarang salah laku calon, boleh menghantar aduan kepada JPP beserta bukti dalam bentuk audio, video, dokumen atau apa sahaja bahan yang boleh membuktikan salah laku itu, begitu juga dengan ahli JPP jika terdapat salah laku kita akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka,” katanya.

Katanya, pada pemilihan sebelum ini terdapat kes pengawas JPP yang diambil tindakan kerana menanda sendiri kertas undi, menambah atau menarik keluar kertas undi.

Sehubungan itu, PKR pada kali ini memperkenalkan sistem ‘e-undi’ bagi memastikan masalah itu dapat ditangani.

Bagaimanapun, beliau berkata masih terdapat kebimbangan sistem berkenaan dimanipulasi, namun pihaknya mengambil beberapa langkah bagi memberi keyakinan sistem itu bersih selain menjimatkan masa dan kos pemilihan.

“Selain melantik auditor bebas, kita akan membenarkan calon atau wakil bersama ketika proses undian dibuka dan pengiraan undi selepas proses undi ditutup,” katanya.

Bagi memperkukuh keyakinan terhadap sistem itu, JPP membuka kebenaran kepada badan pemerhati bebas bagi memantau perjalanan pengundian.

Katanya, badan yang berminat boleh memohon kebenaran memantau daripada pihak JPP.

Kira-kira 800,000 anggota PKR seluruh negara layak mengundi pada pemilihan kali ini yang membabitkan 218 cabang di seluruh negara bermula 14 September hingga 13 Oktober ini.

Seramai 300 ahli JPP dan 3,000 petugas akan terbabit dalam memastikan kelicinan pengundian dan 600 buah peranti e-undi akan dimobilisasikan sepanjang pemilihan itu berlangsung.

Pengundian peringkat cabang dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) akan bermula 14 September di Kelantan dan Terengganu, 15 September (Negeri Sembilan, Melaka dan Pahang), 17 September (Kuala Lumpur), 22 September (Pulau Pinang dan Kedah), 23 September (Selangor), 29 September (Johor), 30 September (Perak, Perlis), 6 Oktober (Sarawak) dan 13 Oktober di Sabah.

– BERNAMA

scroll to top