Wednesday , 22 August 2018

Home » Ekonomi » China tingkat usaha tambah pekerjaan

China tingkat usaha tambah pekerjaan

February 12, 2018 12:52 pm Category: Ekonomi A+ / A-
China tingkat usaha tambah pekerjaan

Gambar Hiasan

BEIJING,. China akan mengukuhkan usaha mewujudkan pekerjaan dan menggalakkan keusahawanan tahun ini, demikian menurut jurucakap perancang utama kerajaan.

Negara itu berdepan tekanan untuk menyediakan pekerjaan kepada jutaan rakyat yang menganggur dan graduan baharu.

Meng Wei dari Suruhanjaya Pembaharuan Pembangunan dan Negara (NDRC) berkata China perlu mencipta pekerjaan kepada 9.7 juta rakyat yang berdaftar sebagai penganggur dan 8.2 juta graduan baharu, selain pekerja yang terjejas dengan pengurangan kapasiti industri.

Kadar pengangguran berdaftar bandar China susut kepada 3.9 peratus tahun lalu dan secara umumnya kekal meskipun pertumbuhan ekonomi perlahan dan kerajaan meneruskan rancangan untuk mengecilkan kapasiti industri.

Ramai penganalisis bagaimanapun berkata, data rasmi itu bukan petunjuk kukuh keadaan pasaran pekerjaan kerana ia hanya mengukur pengambilan pekerja di kawasan bandar dan tidak mengambil kira jutaan pekerja luar bandar yang membentuk asas tenaga kerja China.

“Kami akan melaksanakan strategi pekerjaan diutamakan dan dasar pengambilan pekerja lebih proaktif …selain menggalakkan keusahawanan,” kata Meng pada sidang akhbar, sambil menambah bahawa melindungi pekerjaan adalah asas kepada dasar pertumbuhan ekonomi China yang stabil.

Pihak berkuasa negara itu menyandarkan kepada ‘enjin pertumbuhan baharu’ seperti teknologi dan perkhidmatan bagi menyokong pewujudan pekerjaan.

– Reuters

scroll to top