Friday , 19 April 2019

Home » Bisnes » CIMB gandakan pelaburan dalam teknologi

CIMB gandakan pelaburan dalam teknologi

January 25, 2019 11:47 am Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
CIMB gandakan pelaburan dalam teknologi

Di sebalik kepantasan teknologi yang mendesak perubahan, Tengku Zafrul berpendapat, sentuhan manusia menjadi elemen penggerak perubahan ke arah sesuatu matlamat.

DAVOS,. CIMB Group Holdings Berhad akan menggandakan pelaburan dalam teknologi bagi memperhebatkan lagi kualiti perkhidmatan yang meletakkan pengalaman pelanggan sebagai fokus utama.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, perincian mengenainya akan diumumkan bulan hadapan.

“Kami mahu ada faktor ‘wow’ untuk pengalaman pelanggan dan ia memerlukan pelaburan,” kata Tengku Zafrul dalam temu bual eksklusif bersama Astro AWANI di Forum Ekonomi Sedunia (WEF) 2019 di Davos, Switzerland.

Tambahnya, CIMB meletakkan dua keutamaan sebagai teras pelaburan.

“Pertama, bakat atau modal insan; dan kedua, data dan teknologi.

“Pengurusan perubahan (change management) adalah penting dan kami telah meletakkan sasaran di dalam pelan lima tahun, iaitu sekurang-kurangnya 50 peratus tenaga kerja CIMB mesra digital menjelang 2023,” ujarnya.

Sebelum ini, CIMB telah memperuntukkan RM75 juta untuk akademi khusus bagi pendigitalan data yang dikenali sebagai Akademi 3D CIMB.

Perkembangan ini sebagai langkah proaktif CIMB mengadaptasi perubahan dan supaya sentiasa berada di hadapan dalam mendepani Revolusi Perindustrian Keempat (4IR).

Sektor perbankan dan kewangan yang sedang berhadapan dengan ‘ombak’ revolusi antara pengisian agenda perbincangan WEF2019.

Di sebalik kepantasan teknologi yang mendesak perubahan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB ini berpendapat, ‘sentuhan manusia’ menjadi elemen penggerak perubahan ke arah sesuatu matlamat.

“Bagi saya, ia mengenai keanjalan seseorang itu mengadaptasi perubahan,” katanya.

Kepada anak-anak muda yang sedang membina cita-cita, ini tips daripada Tengku Zafrul.

scroll to top