Wednesday , 24 July 2019

Home » Nasional » Cinta ditipu ‘jurutera London’, seorang wanita kerugian lebih RM300,000

Cinta ditipu ‘jurutera London’, seorang wanita kerugian lebih RM300,000

March 19, 2019 7:49 am Category: Nasional A+ / A-
Cinta ditipu ‘jurutera London’, seorang wanita kerugian lebih RM300,000

Percintaan jarak jauh itu telah menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM370,500.

SIBU,. Kerana cinta dan kasih seorang penjawat awam wanita di sini sanggup mengeluarkan sejumlah besar wang simpanannya untuk diberikan kepada seorang ‘jurutera’ di London.

Tidak cukup dengan itu, beliau yang berusia 33 tahun meminjam pula wang daripada pelbagai sumber kononnya untuk perbelanjaan makan minum, rawatan ibu dan pembiayaan projek pembinaan jurutera itu.

Namun, wanita itu menyedari dirinya ditipu dengan janji manis oleh lelaki tersebut setelah mendapati gambar digunakan oleh suspek adalah palsu apabila membuat semakan menerusi aplikasi Google.

Percintaan jarak jauh itu telah menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM370,500.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Sarawak Supt. Mustafa Kamal Gani Abdullah dalam satu kenyataan di sini berkata, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Sentral Sibu pada 12 tengah hari tadi.

“Beliau telah berkenalan dengan lelaki tersebut secara dalam talian menggunakan aplikasi Tantan pada bulan Ogos 2018,” katanya.

Menurut Mustafa, mangsa telah memasukkan wang terbabit ke akaun berbeza mulai Ogos 2018 sehingga Januari tahun ini.

Beliau yakin pihaknya akan dapat mengenal pasti suspek-suspek yang terlibat dan akan mengheret mereka ke muka pengadilan.

Beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah menyerahkan wang ringgit kepada orang yang tidak dikenali atas apa alasan sekalipun.

Mustafa berkata, “Dalam sesetengah kes melibatkan orang yang dikenali pun cukup susah untuk mendapatkan kembali wang yang dipinjamkan, apatah lagi yang langsung tidak diketahui asal usul sebenarnya.”

Menurut beliau media sosial adalah alat atau “umpan” paling mudah untuk menipu sesiapa yang tidak peka dan tidak mengambil tahu tentang jenayah penipuan tersebut.

— BERNAMA

scroll to top