Friday , 23 February 2018

Home » Sukan » Coutinho bawa Barca ke final

Coutinho bawa Barca ke final

February 9, 2018 9:51 am Category: Sukan A+ / A-
Coutinho bawa Barca ke final

Coutinho meraikan jaringannya ketika menentang Valencia. -Foto AFP

MADRID,. Philippe Coutinho tampil dari bangku simpanan untuk menjaringkan gol pertamanya buat Barcelona untuk kemenangan 2-0 ke atas Valencia awal pagi tadi, sekali gus membawa kelab barunya mara ke satu lagi final Piala Raja Sepanyol.

Coutinho memecah kebuntuan pada minit ke-49 aksi separuh akhir kedua itu yang diadakan di Mestalla, biarpun diturunkan pada awal separuh masa kedua.

Ini kali pertama pemain Brazil itu berjaya merobek gol lawan sejak perpindahan termahal bernilai 160 juta euro (RM776 juta) dari Liverpool pada awal Januari.

Ivan Rakitic kemudiannya menjaringkan gol kedua lapan minit sebelum tamat perlawanan membolehkan Barca selaku juara bertahan mara ke final buat musim kelima berturut-turut.

Juara tiga kali berturut-turut itu akan berdepan Sevilla pada perlawanan akhir yang akan diadakan pada 21 April ini. Sevilla menewaskan Leganes 2-0 semalam untuk mara dengan agregat 3-1.

“Bagi saya ia bagaikan final pertama saya, jadi ia detik yang sungguh istimewa,” kata Coutinho kepada stesen televisyen Sepanyol, Gol.

“Saya amat gembira. Saya memburu gol ini dalam beberapa perlawanan awal. Saya berjaya mendapatkannya hari ini dan ia membantu pasukan layak ke final.”

Valencia berharap dapat melangkah ke final buat kali pertama sejak menjuarai piala berkenaan di bawah kendalian Ronald Koeman pada 2008, menewaskan Barcelona pada separuh akhir.

Ketinggalan 0-1 pada aksi pertama menerusi jaringan Luis Suarez di Camp Nou minggu lalu, Valencia hampir menyamakan kedudukan menerusi agregat pada awal perlawanan.

Bagaimanapun tandukan Rodrigo yang gagal diselamatkan Jasper Cillessen di gawang Barca tersasar.

– AFP

scroll to top