Wednesday , 22 August 2018

Home » Bisnes » Crossover kompak paling dinanti

Crossover kompak paling dinanti

April 17, 2018 2:49 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Crossover kompak paling dinanti

TOYOTA C-HR.

MESKIPUN tiada majlis besar-besar untuk pelancaran model crossover kompak paling dinantikan, Toyota C-HR, ia tidak menjejaskan sambutan yang dianggap sebahagian besar peminat automotif model terbaik Toyota tahun ini.

Minggu lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) secara rasmi memperkenalkan C-HR dalam acara tiga dalam satu, termasuk majlis penyerahan 50 unit pertama kepada pemilik dan sambutan parti sempena Toyota Gazoo Racing (TGR).

Selepas sekian lama menantikan model berkenaan, UMWT akhirnya menamatkan penantian semua pihak dengan pengenalan C-HR yang ditawarkan pada harga atas jalan tanpa insurans RM145,500.

Presiden UMWT, K Ravindran, berkata sehingga kini, syarikat itu sudah menerima kira-kira 1,500 tempahan sejak ia mula dipertontonkan kepada rakyat Malaysia tahun lalu.

“Disebabkan ia adalah model yang begitu unik dan bermakna, kami ingin ambil kesempatan untuk menyerahkannya sendiri kepada 50 pemilik terawal kami,” katanya pada majlis itu.

Yang turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ketua Jurutera Toyota C-HR, Takatomo Suzuki.

Ravindran berkata, Toyota sentiasa berterima kasih di atas sokongan pelanggan.

“Untuk itu, kami juga ingin memastikan pengalaman pemilikan yang terbaik buat semua, dengan servis dan penyelenggaraan dilakukan oleh juruteknik terlatih khusus untuk model C-HR dan stok alat ganti yang tersedia sepanjang masa, sekiranya diperlukan.

“Selain itu, dengan model yang dibeli hanya dari UMW Toyota Motor dan pengedar sahnya akan menikmati jaminan lima tahun tanpa had perbatuan,” tambahnya.

Penampilan unik

Sejak pengenalan di peringkat global, Toyota C-HR serba baharu menerima sambutan hangat di semua pasaran di mana ia dilancarkan.

Selain penampilan yang unik dan menarik, model ini menggunakan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang kini banyak digunakan pada model baharu Toyota.

Bagi pasaran Malaysia, C-HR diperkenalkan hanya dalam satu varian, iaitu dengan enjin 1.8 liter petrol yang digandingkan bersama transmisi Sequential Shiftmatic CVT 7-kelajuan.

Ciri keselamatannya, termasuk ABS sebagai standard, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Kawalan Cengkaman (TRC) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) serta Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM).

C-HR juga dilengkapi ciri Brek Parkir Elektrik dan Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC) untuk mengelakkannya daripada mengundur ketika mula bergerak di permukaan curam.

Rekaan dalaman C-HR menampilkan konsep yang sama sekali berbeza berbanding model Toyota yang sebelumnya; ia menggabungkan penggayaan moden dengan fungsi termaju.

Bahagian pemandu menerapkan perincian inovatif dan teknologi intuitif dengan meter Optitron 4.2-inci berwarna dengan Paparan Pelbagai Maklumat (MID).

Bagi yang gemar memandu, turut tersedia ialah ciri G-monitor yang akan memaparkan kadar daya-G ketika kenderaan berada dalam selekoh, memecut dan mengurangkan kelajuan.

Info:

Toyota C-HR

* 1 varian iaitu 1.8 L

* Harga atas jalan tanpa insurans RM145,500

scroll to top