Sunday , 24 March 2019

Home » Bencana » cuaca buruk landa AS 5 maut dilanda ribut salji

cuaca buruk landa AS 5 maut dilanda ribut salji

January 13, 2019 9:01 am Category: Bencana, Dunia A+ / A-
cuaca buruk landa AS 5 maut dilanda ribut salji

KANSAS CITY,. Ribut salji yang membawa salji tebal di rantau utara dan tengah Amerika Syarikat (AS) dan kini menuju Washington, mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang akibat nahas jalan raya, menyebabkan pemandu kenderaan terkandas di Missouri serta pembatalan puluhan penerbangan.

Cuaca buruk, bermula sebagai hujan dari Mexico namun bertukar kepada salji, kini diramalkan menjejaskan kawasan seluas 2,900 kilometer di AS dari Colorado sehinggalah Atlantik tengah.

Ribut terbabit menjejaskan Kansas dan Missouri kelmarin serta membadai negeri terbabit semalam ketika ia berlanjutan ke sebahagian Iowa, Illinois, Indiana dan Ohio, kata pakar kaji cuaca di Pusat Ramalan Cuaca AS, Andrew Orrison.

Di bandar ini, salji menyelubungi padang Stadium Arrowhead ketika perlawanan Liga Bola Sepak Kebangsaan semalam antara pasukan tempatan Chiefs dan Indianapolis Colts.

Orrison berkata, ribut itu membawa salji paling tebal di kawasan barat St. Louis, kira-kira sekaki setengah (45.72 sentimeter) salji direkodkan, dan lebih banyak salji turun semalam.

Sekurang-kurangnya lima maut akibat nahas berkaitan cuaca di jalan raya Missouri dan Kansas, menurut peronda lebuh raya di kedua-dua negeri.

“Setiap jalan raya di Kansas dalam keadaan teruk ketika ini!” kata peronda Tod Hileman, jurucakap Peronda Lebuh Raya Kansas di Twitter semalam.

Puluhan penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Lambert St. Louis, yang menyifatkan ia adalah salji paling tebal selama bertahun susulan ribut salji terbesar.

Salji diramalkan turun di Pergunungan Appalachian dan Atlantik tengah malam Sabtu dan pagi Ahad.

Di Washington, di mana banyak pejabat persekutuan ditutup berikutan penutupan kerajaan, dijangka menerima antara 15 hingga 20 sm salji akibat ribut terbabit, menurut Perkhidmatan Cuaca Nasional.

Kawasan tengah dan utara Virginia akan menerima sehingga 25.4 sm salji di sesetengah kawasan, begitu juga Baltimore dan sebahagian Maryland. -Reuters

scroll to top