Thursday , 18 January 2018

Home » Bencana » Cuaca Sejuk Yang Melanda Negara Dibawa Angin Monsun

Cuaca Sejuk Yang Melanda Negara Dibawa Angin Monsun

January 13, 2018 7:13 am Category: Bencana, Nasional A+ / A-
Cuaca Sejuk Yang Melanda Negara Dibawa Angin Monsun

Orang awam kelihatan berjalan sambil memakai payung dan berpakaian tebal ketika melintasi Jambatan Gemilang, Presint 4, Putrajaya hari ini. Cuaca sejuk dan nyaman melanda pusat pentadbiran Malaysia susulan suhu di kawasan Semenanjung turun di antara 22 darjah Celsius dan 25 darjah Celsius berbanding suhu biasa 30 hingga 31 darjah Celsius Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR,. Cuaca sejuk sekitar 21 darjah Celsius yang melanda negara ketika ini adalah disebabkan tiupan angin luluran sejuk yang berlaku semasa monsun timur laut akibat pengukuhan sistem tekanan udara tinggi Siberia-Mongolia yang membawa cuaca sejuk dari utara ke China dan memasuki Laut China Selatan sebelum bergerak ke Malaysia.

Profesor Klimatologi dan Oseanografi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang.

Profesor Klimatologi dan Oseanografi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang.

Profesor Klimatologi dan Oseanografi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Fredolin Tangang, berkata cuaca sejuk seperti ini akan berlarutan dua tiga hari lagi dengan kawasan di Johor dan Sarawak akan berlaku hujan lebat.

Beliau berkata, keadaan hujan dan berawan dan cuaca sejuk yang berlaku sekarang juga disebabkan sebahagiannya ditokok tambah oleh fenomena ‘Madden-Julian Oscillation (MJO)’ atau Ayunan Madden-Julian.

“Fenomena MJO adalah sebahagian keragaman iklim dalam musim di kawasan tropika yang berayun dengan kekerapan sekali dalam tempoh 20/60 hari,” katanya semalam.

Beliau mengulas mengenai cuaca sejuk di beberapa tempat di negara ini sejak beberapa hari lalu.

Malah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam catatan di media sosial ketika tiba di tanah air pagi tadi, berkata cuaca sejuk di Malaysia sama seperti ketika beliau berada di Jeddah.

Prof Fredolin berkata menurut kajian beliau di UKM, jika fenomena MJO ini berlaku secara serentak dengan maka keadaan penurunan hujan lebih tinggi.

Beliau berkata, tiupan udara tekanan tinggi Siberia-Mongolia juga ada kaitannya dengan fenomena yang menyebabkan berlakunya “bom siklon “yang menyebabkan cuaca sejuk di timur Amerika Syarikat (AS) dan Kanada sehingga mencatat suhu bawah paras beku.

Beliau menjelaskan selain angin sejuk kebiasaannya pergerakan angin monsun timur laut membawa bersama hujan lebat ke kawasan pantai Semenanjung seperti di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, sekali gus mengakibatkan banjir.

“Pada awal monsun timur laut ini kita menyaksikan kawasan utara pantai timur terutama Kelantan dan Terengganu dilanda banjir dan penghujung Januari ini ia akan turun ke selatan tanah akhir mengikuti pergerakan palung monsun.

“Keadaan yang hampir sama pernah berlaku pada pertengahan Januari 2007, ketika Johor dilanda banjir besar di mana MJO dan luluran sejuk berlaku secara serentak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa mengambil berat amaran yang dikeluarkan pihak berkuasa seperti Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi, Alui Bahari, berkata cuaca sejuk seperti ini adalah perkara biasa ketika musim monsun timur laut dari November hingga hujung bulan ini dan pernah berlaku pada 2014.

Katanya, pada 2014, cuaca paling rendah dicatatkan di Kuala Krai, Kelantan dengan suhu turun hingga 15.7 darjah Celsius susulan kesan tiupan angin timur laut.

“Untuk hari ini, suhu paling rendah dicatatkan di Kuala Pilah iaitu 21 darjah Celsius. Tempat lain di Semenanjung, suhu sejuk sekitar 22 sehingga 23 darjah Celsius

“Suhu akan turun lebih rendah pada waktu tengah malam dan awal pagi sehingga mencecah 20 darjah Celsius,” katanya.

Sebelum ini, aplikasi ramalan cuaca Malaysia, Met Office, memaparkan cuaca di Lembah Klang turun kepada sekitar 22 darjah Celsius.

Tanpa menjelaskan sampai bila cuaca sejuk ini akan berlaku, Alui berkata orang ramai tidak perlu bimbang dengan cuaca sejuk berkenaan hanyalah sementara.

Info: Kawasan yang pernah mencatatkan suhu terendah pada 2014:

3 Februari 2014
Kota Bharu, Kelantan: 17.8°C
Gong Kedak, Terengganu: 17.6°C
Kuala Krai, Kelantan: 15.7°C

4 Februari 2014
Chuping, Perlis: 16.1°C
Butterworth, P. Pinang: 19.0°C
Kuala Kangsar, Perak: 17.2°C.

scroll to top