Wednesday , 19 December 2018

Home » Artikel Pilihan » Cukai hartanah turun jika BN menang Selangor

Cukai hartanah turun jika BN menang Selangor

January 10, 2018 11:19 am Category: Artikel Pilihan, Nasional, Politik A+ / A-
Cukai hartanah turun jika BN menang Selangor

JIKA kita benar-benar mahu menangani masalah kos sara hidup, kita perlu tahu puncanya yang sebenar. Seperti diperjelaskan dalam Bahagian 1, salah satu daripada punca utama kenaikan kos sara hidup ialah peningkatan dalam cukai berkaitan hartanah. Punca masalah kos sara hidup ini boleh diumpamakan seperti sebuah bongkah ais.

Hanya 9 peratus bongkah ais yang kelihatan di atas permukaan air, manakala 91 peratus lagi tidak kelihatan di bawah permukaan. Cukai berkaitan hartanah adalah seumpama bongkah ais yang tidak kelihatan.

Faktor lain seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang sering diputarbelitkan oleh Pakatan sebagai faktor utama menyebabkan kenaikan kos sara hidup, jika benar sekalipun hanya seumpama bahagian bongkah ais yang kelihatan di atas permukaan. Tetapi ia tidak sebanding punca utama masalah yang tersembunyi, iaitu cukai berkaitan hartanah oleh kerajaan negeri.

Kenaikan kos sara hidup

Kenaikan kos sara hidup yang ketara sebenarnya berlaku antara tahun 2008 dan 2011 di Selangor dan Pulau Pinang, sebelum GST wujud. Ia berlaku serentak dengan peningkatan harga hartanah, khususnya di Selangor dan Pulau Pinang. Peningkatan besar ini tidak mungkin disebabkan oleh peningkatan harga minyak kerana harga petrol di pam dikurangkan enam kali dalam tempoh empat bulan mulai Ogos 2008 hingga 2009 dan ia stabil pada lebih kurang RM2 satu liter selama beberapa tahun selepasnya.

Ia juga bukan kerana kos bahan binaan kerana harga bahan binaan adalah stabil sejak 2009. Malah, harga besi, salah satu komponen utama pembinaan, menurun daripada kira-kira RM4,000 satu tan pada 2008 kepada kurang daripada RM2,000 pada 2009 dan selepas itu.

Sejak mengambil alih kerajaan negeri pada 2008, kerajaan Pakatan di Selangor sudah menaikkan yuran bagi 90 jenis lesen perniagaan di Selangor. Malah, yuran lesen baharu perniagaan di Selangor, meningkat sehingga 300 peratus. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menaikkan yuran lesen perniagaan sehingga 72 peratus manakala Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sehingga 120 peratus.

Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), turut sama menaikkan yuran berkenaan baru-baru ini. Sebagai contoh, lesen baharu kedai menjual kereta terpakai di bawah Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dinaikkan sehingga 282 peratus, daripada RM390 ketika pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada RM1,490 selepas Pakatan mengambil alih.

Kerajaan tempatan di bawah Pakatan turut mengenakan yuran ke atas 32 jenis premis perniagaan yang sebelum ini dikecualikan di bawah BN. Mereka juga meningkatkan kadar taksiran ke atas rumah orang tua, kediaman bagi orang kurang upaya dan pusat jagaan kanak-kanak.

Kos pematuhan dinaikkan

Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah (REHDA) Pulau Pinang, Datuk Toh Chin Leong berkata, kos perniagaan meningkat kerana kenaikan kos pematuhan yang dikenakan oleh kerajaan negeri. Peniaga kecil dan runcit juga terkesan dengan kenaikan kos pematuhan selepas kerajaan tempatan di Selangor dan Pulau Pinang menaikkan yuran perniagaan.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Datuk Muhammad Farid Saad, di Pulau Pinang, yuran sumbangan bagi sesuatu tapak niaga dinaikkan daripada kira-kira RM3,000 setiap satu tapak sebelum 2008 kepada kira-kira RM35,000 hingga RM58,000 ketika ini. Apabila seorang peniaga membayar kos sewaan tinggi untuk premis perniagaannya, dia akan pindahkan kos itu kepada pengguna dengan menaikkan harga barangan dan perkhidmatannya. Inilah sebabnya harga air mineral lebih rendah jika dibeli di tepi jalan berbanding kedai runcit atau pasar raya.

Menurut Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, memang wujud perbezaan harga antara negeri. Contohnya, harga purata satu kilogram bawang adalah RM4.70 di Selangor, manakala di negeri lain, termasuk Kuala Lumpur dijual RM4.15 secara purata. Kemudahan asas juga tidak terkecuali. Sumbangan yuran parkir di tempat tertentu di Pulau Pinang yang sebelum ini RM15,000 untuk satu lot sebelum 2008 dinaikkan kepada RM25,000 sekarang.

Sejak Pakatan mengambil alih Selangor dan Pulau Pinang, pertumbuhan ekonomi dan perniagaan semakin perlahan. Menteri Besar Selangor (MB), Datuk Seri Azmin Ali menyalahkan keadaan ekonomi yang perlahan di atas penurunan jangkaan perolehan daripada premium tanah, cukai pintu dan caj perniagaan berkaitan tanah.

Apa yang beliau tidak faham ialah dasar beliau dan kerajaan Pakatan yang meningkatkan cukai hartanah negeri yang sebenarnya adalah punca menyebabkan ekonomi lembab.

Gaji MB Selangor atasi PM

Dasar itu dan dasar kerajaan Pakatan telah meningkatkan kos urus niaga dan kos sara hidup. Sejak beberapa tahun lalu, kerajaan negeri meningkatkan gaji MB dan anggota jawatankuasa eksekutif negeri. Gaji MB Selangor kini adalah yang tertinggi di negara ini dalam sektor awam, malah ia lebih tinggi daripada gaji Perdana Menteri. Ahli politik Pakatan telah meningkatkan beban cukai kepada rakyat tetapi menaikkan gaji mereka sendiri.

Selangor pada hari ini, menghadapi banyak masalah. Ia mencatat gangguan bekalan air tertinggi berbanding jumlah di semua negeri lain di Malaysia, kes kematian akibat penyakit berjangkit seperti denggi tertinggi di Malaysia, bilangan pusat maksiat yang tertinggi di Malaysia dan lain-lain lagi.

Kini, menambah kepada senarai di atas, kos sara hidup antara yang tertinggi di Malaysia. Kadar di atas bukan kerana terdapat ramai penduduk di Selangor, ia tertinggi dalam basis per kapita.

Bekas Presiden Amerika Syarikat, Benjamin Franklin pernah berkata: “Perkara yang pasti kita alami dalam dunia ini adalah kematian dan cukai.”

Tetapi, kerajaan Pakatan bertindak melampau batas seperti yang telah didedahkan di atas. Semua ini adalah masalah yang serius dan perlu diatasi segera. Kita perlu perbetulkan keadaan. Saya orang Selangor. Ini negeri saya. Saya mahu perbaiki keadaan.

Apabila Barisan Nasional menang negeri Selangor dalam pilihan raya umum akan datang, cukai berkaitan hartanah yang membebankan ini akan diturunkan supaya harga rumah, kos perniagaan dan harga barang serta perkhidmatan menjadi lebih murah yang akan dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat untuk kehidupan yang lebih baik di Selangor untuk semua.

Tetapi, kerajaan Pakatan bertindak melampaui batas seperti yang telah didedahkan di atas. Semua ini adalah masalah yang serius dan perlu diatasi segera. Kita perlu perbetulkan keadaan. Saya orang Selangor. Ini negeri saya. Saya mahu perbaiki keadaan.

Apabila Barisan Nasional menang negeri Selangor dalam pilihan raya umum akan datang, cukai berkaitan hartanah yang membebankan ini akan diturunkan supaya harga rumah, kos perniagaan dan harga barang serta perkhidmatan menjadi lebih murah dan akan dapat mengurangkan beban kos sara hidup rakyat untuk kehidupan yang lebih baik di Selangor untuk semua.

Penulis berkelulusan Harvard and Wharton dalam jurusan ekonomi politik adalah Pegawai Khas kepada Perdana Menteri. Beliau juga adalah Presiden Sukarelawan Malaysia dan berasal dari Paya Jaras, Selangor. Beliau berkhidmat sembilan tahun dalam sektor swasta dan sembilan tahun lagi dalam perkhidmatan awam, termasuk di Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri

BH

scroll to top