Wednesday , 14 November 2018

Home » Nasional » Dakwa semua suspek skandal 1MDB – Khaled Nordin

Dakwa semua suspek skandal 1MDB – Khaled Nordin

August 19, 2018 5:55 pm Category: Nasional, Politik A+ / A-
Dakwa semua suspek skandal 1MDB – Khaled Nordin

Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. - Foto Mohd Azren Jamaludin

JOHOR BAHRU,. Jho Low dan semua pihak yang dikatakan terbabit dengan skandal 1MDB perlu dibawa ke muka pengadilan dengan segera supaya isu yang sudah lama berlarutan tidak lagi menimbulkan pelbagai persepsi.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata adalah sangat kritikal dan penting untuk pihak kerajaan yang mendakwa mempunyai maklumat pembabitan Jho Low dalam skandal itu untuk menggandakan usaha menahan, membawa pulang, menyoal siasat dan membicarakannya.

Katanya, skandal 1MDB sudah terlalu kerap dilaporkan media termasuk media antarabangsa dan media sosial dengan pelbagai nama, angka serta cerita yang tidak berkesudahan.

“Kerajaan Malaysia harus mempamerkan kesungguhan yang lebih tegas bagi mendapatkan Jho Low dan mengheret beliau ke muka keadilan. Pihak kerajaan tidak seharusnya sekali-kali melihat dia sebagai sekadar watak sampingan yang boleh diketepikan.

“Sebarang pendekatan menunggu dan mengharapkan beliau untuk tampil sendiri dan memberi penjelasan secara sukarela tidak akan berjaya dalam kes ini.

“Jawapan yang hanya menyalahkan kerajaan sebelum ini kerana gagal menahan Jho Low, sudah tentunya bukan alasan yang boleh diterima lagi. Ini kerana UMNO sendiri mahukan perkara ini diselesaikan segera agar ia boleh memfokuskan kepada perkara lain yang lebih penting,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata, menguruskan skandal 1MDB dan membawa mereka yang terbabit ke muka pengadilan juga adalah komitmen dan janji yang dilaungkan oleh kerajaan baharu ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu menjadikan perkara itu perlu diberikan perhatian lebih serius serta tegas.

Katanya, antara individu yang paling kerap namanya disebut adalah Jho Low yang dilaporkan sangat terbabit dan mempunyai hubung kait secara langsung dengan skandal 1MDB, termasuk pembelian kapal mewah Equanimity.

“Bagaimanapun, di sebalik segala laporan dan dakwaan pembabitan dia, Jho Low sehingga kini masih belum ditahan oleh mana-mana pihak berkuasa Malaysia apatah lagi dibicarakan di mana-mana mahkamah.

“Ketiadaan tindakan, tangkapan dan perbicaraan ke atas beliau sehingga kini sudah pastilah menimbulkan banyak tanda tanya, spekulasi serta manipulasi.

“Ia membuka ruang kepada sebaran pelbagai cerita dan spekulasi yang tidak jelas, tidak tepat dan mengelirukan semua pihak bukan sahaja kepada UMNO tetapi kepada pihak kerajaan sendiri. Lebih penting, ia tidak akan membantu membawa kesudahan kepada isu ini,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, siasatan dan pendakwaan terhadap Jho Low penting kerana isu itu supaya rakyat Malaysia tidak lagi dibelenggu misteri skandal 1MDB apabila kebenaran dan keadilan dalam skandal didedahkan agar semua pihak mengetahui perkara sebenar.

Katanya, ia juga memberi kesudahan kepada skandal itu, sekali gus membolehkan kerajaan dan rakyat Malaysia memfokuskan pula kepada perkara lain yang lebih penting.

“Malaysia mempunyai pelbagai perkara lagi yang mesti kita lihat dan uruskan dengan baik. Bukan sahaja skandal yang tidak berkesudahan. Kedua, kita mahukan Jho Low dan semua yang terlibat dalam skandal ini dibawa ke muka pengadilan dan melalui proses yang sewajarnya secara telus dan teratur. Hanya inilah cara terbaik berhadapan dengan semua yang terbabit,” katanya.

Mohamed Khaled percaya usaha mencari kebenaran dan keadilan dalam skandal 1MDB akan mendapat kerjasama baik daripada Datuk Seri Najib Razak dan keluarganya, malah penahanan Jho Low dan siasatan itu juga dapat membantu membersihkan nama dan imej bekas Perdana Menteri itu yang kini tercemar dengan skandal berkenaan.

scroll to top