Friday , 21 June 2019

Home » Nasional » Dasar Agro Makanan Negara di rangka – Dr Mahathir

Dasar Agro Makanan Negara di rangka – Dr Mahathir

November 23, 2018 7:30 am Category: Nasional A+ / A-
Dasar Agro Makanan Negara di rangka – Dr Mahathir

SERDANG,. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang dalam kajian bagi merangka Dasar Agro Makanan Negara 2021-2030 yang bertujuan memacu pemodenan sektor agro makanan.

Beliau berkata Dasar Agro Makanan 2.0 itu penting bagi menjadikan sektor makanan negara lebih berdaya saing seiring ledakan Revolusi Industri 4.0.

Dasar itu akan menekankan pembangunan infrastruktur dan penggunaan teknologi moden, penyediaan modal insan serta pengkomersialan pertanian termasuk inovasi dalam sektor penting itu, katanya.

“Ini selaras dengan tumpuan kerajaan bagi menjadikan sektor makanan kekal relevan dan lebih berdaya saing,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2018 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.

Bertemakan “Makanan Kita Masa Depan Kita”, pameran dwi tahunan itu akan berlangsung selama 11 hari sehingga 2 Disember depan.

Hadir sama isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub dan Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Dr Mahathir berkata dasar baharu itu akan menyusun semula strategi untuk mempercepat proses pemodenan selain mengurus permintaan dan penawaran makanan.

Dasar itu juga akan menyelaras semula pelaburan kerajaan dan swasta untuk pembangunan infrastruktur, pembinaan modal insan pertanian dan penyelidikan serta pembangunan, komersial dan inovasi, katanya.

Dr Mahathir berkata kerajaan juga akan membangunkan input alternatif dan sumber rezeki baharu seperti kelapa, nanas,tembikai, belimbing dan durian yang mempunyai permintaan besar di pasaran tempatan dan global serta mempunyai nilai ekonomi yang baik.

Katanya sumber rezeki baharu itu akan dieksploitasi menerusi pelbagai usaha penyelidikan dan pembangunan termasuk aspek perniagaannya manakala penggunaan kemudahan logistik sedia ada termasuk pusat pengumpulan dan pengedaran, kemudahan rantaian sejuk serta mesin dan jentera pengangkutan pula akan dioptimakan.

“Secara tidak langsung, kesemua rantaian nilai sektor agro makanan akan dimanfaat sepenuhnya. Masyarakat petani, penternak, nelayan dan usahawan asas tani memperoleh batas ekonomi yang lebih besar, akses kepada pasaran yang lebih luas dan rangkaian pengedaran yang lebih efisien,” katanya.

Dr Mahathir berkata sektor pertanian akan terus kekal penting dan relevan kerana ia tidak lagi dilihat sebagai pengeluaran makanan tetapi telah diterima sebagai faktor penting dalam menjamin “food security” atau keselamatan makanan negara.

Walaupun “food security” ditafsir sebagai “bekalan makanan yang mencukupi untuk semua rakyat pada setiap masa” tanpa menekankan ia hasil negara atau diimport, Dr Mahathir bagaimanapun mahu Malaysia memastikan bekalan tersebut sebahagian besarnya bergantung kepada penghasilan petani tempatan.

Dalam pada itu, beliau berkata sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) masih agak kecil iaitu pada 8.17 peratus atau RM37.4 bilion tahun lepas sedangkan potensinya sangat besar dan boleh dikembangkan.

Perdana Menteri mahu MAHA dijadikan landasan terbaik bagi masyarakat petani, penternak, nelayan dan usahawan industri asas tani untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan masing-masing kepada umum.

Beliau juga tidak mahu MAHA dilihat semata-mata sebagai peluang untuk mempamerkan dan memperkenalkan produk tetapi harus dilihat sebagai satu program yang menyeluruh sama ada peserta dan juga pengunjung.

— BERNAMA

scroll to top