Sunday , 16 December 2018

Home » Dunia » Data 87 juta pengguna FB bocor

Data 87 juta pengguna FB bocor

April 5, 2018 9:26 am Category: Dunia, Teknologi A+ / A-
Data 87 juta pengguna FB bocor

SAN FRANCISCO,. Firma Facebook Inc, semalam berkata maklumat peribadi 87 juta pengguna, kebanyakannya di Amerika Syarikat, dikongsi secara tidak wajar oleh syarikat perunding politik, Cambridge Analytica, lebih banyak daripada anggaran media sebelum ini iaitu lebih 50 juta.

Ketua Eksekutifnya, Mark Zuckerberg, berkata dalam perbualan telefon dengan wartawan bahawa Facebook tidak melihat ‘sebarang impak bermakna’ kepada penggunaan atau penjualan iklan sejak skandal itu.

Mark Zuckerberg

Mark Zuckerberg

Bagaimanapun, beliau mengaku ‘adalah sesuatu yang tidak baik’ jika pengguna tidak gembira dengan syarikat itu.

Zuckerberg memberitahu wartawan, beliau bertanggungjawab di atas kebocoran data itu, yang menaikkan kemarahan pengguna, pengiklan dan ahli perundangan, tetapi turut berkata beliau masih tokoh yang layak menerajui syarikat yang diasaskannya itu.

“Apabila anda membina sesuatu seperti Facebook yang pertama di dunia, pasti ada sesuatu yang tidak kena akan berlaku,” katanya, menambah apa yang penting adalah belajar daripada kesilapan.

Katanya, tidak wujud sebarang perbincangan dalam lembaga Facebook mengenai pengunduran beliau, walaupun pengarah berhadapan cabaran jika mahu menyingkirkan Zuckerberg kerana pemegang saham yang mengawal pengurusan syarikat.

Zuckerberg berkata, beliau tidak memecat sesiapa berhubung skandal itu dan tidak bercadang berbuat demikian.

“Saya tidak mahu memecat sesiapa kerana kesilapan yang kami lakukan,” katanya.

Facebook, pertama kali mengaku bulan lalu bahawa maklumat peribadi jutaan pengguna diperoleh Cambridge Analytica secara salah.

Zuckerberg akan memberi keterangan mengenai perkara itu kepada Jawatankuasa Dewan Kuasa dan Perdagangan Amerika Syarikat minggu ini.

– Reuters

scroll to top