Tuesday , 19 June 2018

Home » Nasional » Datuk antara didakwa perdaya pindah milik tanah

Datuk antara didakwa perdaya pindah milik tanah

April 16, 2018 2:54 pm Category: Nasional A+ / A-
Datuk antara didakwa perdaya pindah milik tanah

KAJANG,. Dua lelaki, termasuk seorang bergelar Datuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdaya sembilan individu berhubung pembayaran pindah milik tanah yang tidak wujud membabitkan kerugian RM637,500 antara Oktober 2012 hingga September 2014.

Ini adalah kali kedua tertuduh, Datuk Nor Hasnal Hashmi, 49 dan Sayyid Walid Hasuana, 31, didakwa memperdaya sembilan individu selepas mereka dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Selayang pada Khamis lalu kerana kes sama membabitkan kerugian RM700,000, enam tahun lalu.

Mereka tidak mengaku bersalah pada prosiding Khamis.

Hari ini, kedua-dua tertuduh juga tidak mengaku bersalah.

Kedua-dua tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin Surita Budin.

Nor Hasnal yang memakai baju ‘hoodie’ berwarna hitam dilihat tenang sepanjang prosiding dan menggelengkan kepalanya apabila pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di dalam kandang tertuduh.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya didakwa memperdayakan sembilan individu untuk mempercayai mereka akan memindah milik lot tanah untuk pembinaan sembilan kediaman kepada mangsa.

Perbuatan itu mendorong semua individu terbabit menyerahkan wang keseluruhannya berjumlah RM637,500 kepada syarikat Masgenuine Alliance Holdings Sdn Bhd sebagai pembayaran kos pindah milik tanah yang tidak wujud.

Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka di No 70-G, Jalan Lagenda Suria 3 Taman Lagenda Suria 43100 Hulu Langat, di sini, antara Oktober 2012 hingga September 2014.

Dakwaan kes dilakukan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Siti Noor Hafizan Zakaria , menawarkan jaminan RM150,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Zainal Omar yang mewakili Nor Hasnal memohon jaminan yang munasabah disebabkan anak guamnya mempunyai 10 anak dengan tujuh daripadanya bersekolah.

“Selain itu, anak guam saya juga susah diisytiharkan bankrap pada Januari lalu dan ini menjejaskan sumber pendapatan keluarganya,” katanya.

Sementara itu, peguam Ahmad Zaharil Muhaiyar mewakili Sayyid Walid turut memohon mahkamah meletakkan syarat munasabah seperti anak guamnya boleh berada di luar rumah pada pukul 7 pagi hingga 7 malam.

Mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh itu diikat jamin RM80,000 dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan ke mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 10 Mei ini sebagai sebutan semula kes.

scroll to top