Saturday , 21 July 2018

Home » Nasional » ‘Demi Rakyat': Dr Wan Azizah cekal hadapi perubahan drastik kehidupan

‘Demi Rakyat': Dr Wan Azizah cekal hadapi perubahan drastik kehidupan

June 14, 2018 4:59 am Category: Nasional A+ / A-
‘Demi Rakyat': Dr Wan Azizah cekal hadapi perubahan drastik kehidupan

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR,. Daripada rutin mengurus rumah tangga kemudian ke medan politik bagi memperjuangkan reformasi keadilan buat suami yang dipenjara, beliau kini terus cekal ‘bertarung’ dalam perjuangan baharu sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita yang pertama.

Setelah dilantik memegang jawatan nombor dua negara pada 21 Mei lepas, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 66, mengakui hidupnya kini berubah 360 darjah dengan fokus terhadap agenda mencorak masa depan Malaysia baharu demi rakyat.

“Memanglah sangat berubah sekarang ini apabila masa saya lebih banyak dihabiskan ke Putrajaya bagi sesi ?briefing and learning┬┤ untuk tahu lebih lagi berkenaan tatacara operasi kerajaan, kerana kita dulu daripada pembangkang dan sekarang ini dah jadi kerajaan.

Masa untuk diluangkan bersama suami memang kurang walaupun suami sudah keluar penjara? masa untuk anak-anak serta cucu juga kian terhad,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di kediaman rasmi timbalan perdana menteri di Seri Satria, Putrajaya baru-baru ini.

Di sebalik rutin padatnya itu, Dr Wan Azizah masih sempat melempar senyuman dan melayan mesra pertanyaan wartawan persis seorang ibu yang bercerita kepada anak-anak dalam intonasi lembut dan tenang ketika berkongsi rasa setelah hampir sebulan berada dalam kerajaan.

Jelas terpancar pada riak wajah dan bahasa tubuhnya meskipun lelah dengan rutin yang baharu itu, namun beliau kini melalui kehidupan yang tenteram selepas suaminya yang juga bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan pembebasan serta-merta pada 16 Mei lepas setelah mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Anwar menjalani hukuman penjara lima tahun mulai Februari 2015 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah atas sabitan kes liwat.

Dr Wan Azizah berkata pentadbiran baharu kerajaan Pakatan Harapan (PH) diketuai Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji akan memberi penekanan kepada perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan menghapuskan gejala rasuah.

“Tun Dr Mahathir sering tekankan bahawa kerajaan ini mesti ada perbezaan. Kerajaan ini janjikan pada rakyat dengan perkhidmatan yang jauh lebih baik dan bermoral serta sedaya upaya memastikan seluruh rakyat berasa bangga menjadi rakyat Malaysia.

“Paling penting bukan hanya pada aspek pentadbiran negara tetapi di kalangan masyarakat juga kita pastikan ia lebih baik kerana tidak mahu nilai-nilai yang tidak sihat menular menjadi budaya dalam negara kita,” katanya.

Beliau amat yakin di bawah kepimpinan PH, potensi memperbaiki masa depan negara yang lebih baik mampu dicapai kerana disokong oleh jentera yang begitu dedikasi dan komited mahukan perubahan.

“Malaysia baharu ini bukan sahaja cekap malahan lebih efisien. Sebaik memasuki pejabat di kebanyakan kementerian, kita dapati banyak tatacara kelola kerajaan yang baik boleh digunakan. Namun ia mungkin tersasar dari segi pelaksanaannya sebelum ini.

Kerana itu, saya yakin dengan adanya kakitangan yang baik, sistem yang bagus serta pengelola yang berintegriti matlamat kerajaan PH mampu dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persepsi bahawa keputusan dan tindakannya di dalam kerajaan mungkin dipengaruhi Anwar, Dr Wan Azizah menyangkal perkara itu dan menegaskan setiap keputusan dan dasar kerajaan diputuskan Kabinet.

“Perlu saya ingatkan yang setiap perjuangan saya sebelum ini ‘keseorangan’ kerana pada masa itu suami saya dalam penjara. Ketika itu saya bertanggungjawab sebagai Presiden Parti yang perlu memutuskan banyak hal-hal penting.

“Walaupun suami saya kini telah kembali di sisi saya, beliau tidak lebih daripada memberi sokongan moral kepada saya agar menjalankan tugas sebaik mungkin. Tipulah kalau saya kata langsung tiada berbincang apa-apa? namun sebagai anggota Kabinet, saya sifatkan pandangan dia (Anwar) sekadar pendapat seorang rakyat Malaysia dan mantan timbalan perdana menteri,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top