Tuesday , 20 November 2018

Home » Bencana » Depot simpanan keperluan banjir JKM Kelantan – Wan Azizah

Depot simpanan keperluan banjir JKM Kelantan – Wan Azizah

November 4, 2018 5:21 pm Category: Bencana, Nasional A+ / A-
Depot simpanan keperluan banjir JKM Kelantan – Wan Azizah

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang sedang melakukan lawatan ke Kelantan, hari ini memeriksa Depot Simpanan Keperluan Banjir.

KOTA BHARU,. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang sedang melakukan lawatan ke Kelantan, hari ini memeriksa Depot Simpanan Keperluan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kelantan di Kemumin, Pengkalan Chepa di sini.

Ketibaan Dr Wan Azizah, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat kira-kira pukul 11.30 pagi, disambut Ketua Pengarah JKM Mohd Fazari Salleh dan Pengarah JKM Kelantan Said Sidup.

Beliau kemudian mendengar taklimat mengenai persiapan banjir di Kelantan yang disampaikan Mohd Fazari.

Ketika ditemui pemberita, Mohd Fazari berkata depot berkenaan yang berkeluasan 6,000 kaki persegi menyimpan 43 barangan keperluan asas untuk mangsa banjir seperti tikar dan selimut selain makanan dalam tin serta beras.

Beliau berkata keperluan yang disediakan itu mampu menampung kira-kira 13,000 mangsa bagi tempoh tiga hingga lima hari.

“Selain depot ini, JKM turut mempunyai 207 pangkalan hadapan yang mampu mengedarkan barangan keperluan kepada 607 pusat pemindahan sementara di seluruh Kelantan. Kita turut melantik 75 pembekal yang boleh membekalkan barangan keperluan terutama makanan basah seperti ikan dan sayur di pusat-pusat pemindahan sementara,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fazari berkata cuti 341 kakitangan JKM Kelantan masih belum dibekukan ketika ini memandangkan banjir belum berlaku walaupun Kelantan kini berdepan musim tengkujuh.

“Bagaimanapun, kita tetap menjalin kerjasama dengan agensi penyelamat yang lain ketika banjir berlaku untuk memudahkan urusan berkaitan pengurusan bencana.

“JKM juga mempunyai seramai 109 anggota pasukan sokongan psikologi yang akan membantu mangsa banjir dalam menguruskan tekanan perasaan yang mungkin dihadapi mangsa banjir ketika berada di pusat pemindahan sementara,” katanya.

— BERNAMA

scroll to top