Thursday , 21 March 2019

Home » Bisnes » Dewan Negara: Kerajaan sasar naik taraf ‘Streamyx’ ke Unifi menjelang Mac tahun depan – Eddin Syazlee

Dewan Negara: Kerajaan sasar naik taraf ‘Streamyx’ ke Unifi menjelang Mac tahun depan – Eddin Syazlee

December 17, 2018 2:26 pm Category: Bisnes, Nasional, Teknologi A+ / A-
Dewan Negara: Kerajaan sasar naik taraf ‘Streamyx’ ke Unifi menjelang Mac tahun depan – Eddin Syazlee

KUALA LUMPUR,. Kerajaan menyasarkan untuk menaik taraf semua perkhidmatan pengguna Streamyx kepada Unifi melalui Telekom Malaysia (TM) menjelang Mac tahun depan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata, perkhidmatan itu sedang dinaik taraf secara berperingkat dengan syarat pengguna berada di dalam kawasan yang mempunyai capaian Unifi.

“Sekiranya pengguna berada di luar kawasan atau belum mempunyai capaian Unifi, maka alternatif yang ditawarkan ialah kelajuan Streamyx mereka akan dinaik taraf sehingga 8 Mbps atau bakal menerima capaian 4G LTE. Semua naik taraf ini adalah secara percuma tanpa melibatkan apa-apa kos tambahan,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Ismail Ibrahim yang ingin tahu langkah kerajaan menangani masalah gangguan Streamyx dan mengimbangi kos yang tinggi oleh pelanggan Streamyx berbanding kapasiti langganan data bagi pengguna luar bandar.

Eddin Syazlee berkata semua langkah ini adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk mengimbangi kos perkhidmatan ‘Streamyx’ yang agak tinggi pada ketika ini, sedangkan pada masa yang sama kapasiti lebih tinggi dengan Unifi ditawarkan pada harga lebih rendah.

Menjawab soalan tambahan, beliau berkata buat masa ini, kerajaan belum bercadang untuk menurunkan kadar Streamyx.

— BERNAMA

scroll to top