Monday , 10 December 2018

Home » Bisnes » Digi tersenarai 50 syarikat global paling majmuk, terangkum

Digi tersenarai 50 syarikat global paling majmuk, terangkum

September 26, 2018 1:00 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Digi tersenarai 50 syarikat global paling majmuk, terangkum

SUBANG JAYA,. Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) muncul sebagai satu-satunya syarikat dari Malaysia yang tersenarai dalam kelompok 50 teratas dalam Indeks Kemajmukan dan Keterangkuman (D&I) Thomson Reuters (D&I) bagi tahun 2018.

Syarikat telekomunikasi itu berada di tangga ke-46 indeks berkenaan dan Digi juga menjadi satu daripada tiga syarikat tempatan yang berjaya tersenarai dalam kelompok 100 teratas bagi senarai global.

Selain itu, Digi juga menjadi satu daripada 15 syarikat di Asia Tenggara yang disenaraikan dalam indeks berkenaan tahun ini.

Ketua Sumber Manusianya, Haroon Bhatti, berkata pihaknya melihat pengiktirafan itu sebagai galakan bagi syarikat untuk terus membina budaya kerja yang terbuka dan dinamik.

“Di Digi, pelaksanaan strategi D&I berjaya meningkatkan pembabitan pekerja di samping memacu inovasi dan pertumbuhan di dalam syarikat.

“Kami percaya dengan prinsip menyediakan peluang kepada semua pihak untuk berkembang dan kami dapat belajar menerusi kekuatan dan perbezaan yang ada antara satu sama lain,” katanya di sini, hari ini.

Dilancarkan pada 2016, Indeks D&I dikira menggunakan data persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang secara telusnya mengukur prestasi syarikat yang relatif terhadap faktor yang menentukan kepelbagaian dan faktor inklusif di tempat kerja.

Sebanyak lebih 7,000 syarikat senaraian awam disenaraikan selepas diukur menerusi 24 metrik berasingan merangkumi empat teras utama iaitu Kemajmukan, Keterangkuman, Kontroversi & Berita serta Pembangunan Manusia.

Semua data ESG yang dikumpul melepasi kawalan kualiti dan seterusnya disahkan oleh proses yang ketat oleh penganalisis Thomson Reuters dan pemeriksaan automatik.

scroll to top