Thursday , 29 June 2017

Home » Bisnes » Digi umum pembabitan dalam teknologi IoT

Digi umum pembabitan dalam teknologi IoT

June 8, 2017 3:39 pm Category: Bisnes, Teknologi A+ / A-
Digi umum pembabitan dalam teknologi IoT

KETUA Pegawai Digital Digi, Praveen Rajan (tiga dari kanan) bersama Pengurus Produk iFleet, Selina Wong (tiga dari kanan) bergambar selepas sesi talimat berkenaan aplikasi iFleet di Digi Telecommunications Sdn Bhd. - Foto Shazreen Zamzuri

SUBANG: Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) mengumumkan rancangan untuk menceburi teknologi Internet of Things (IoT) dengan memperkenalkan strategi Kenderaan Terhubung yang komprehensif.

Menerusi strategi berkenaan, ia menawarkan pelbagai pilihan solusi untuk kenderaan komersil, peribadi dan juga untuk syarikat insurans.

Ketua Pegawai Digital Digi, Praveen Rajan berkata fokus Digi terhadap pasaran IoT menggambarkan strategi yang jelas dan munasabah yang diambil bagi mempelbagaikan sumber pendapatan selaras dengan transformasi syarikat itu.

“Di negara ini, dua kegunaan IoT paling pesat berkembang adalah Kenderaan Terhubung dan Insurans Telematik dan ia dijangka menyumbang sebanyak RM9.5 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara (PNK) pada tahun 2020.

“Dengan memanfaatkan jaringan 4G+ kami yang mantap, ia menjadi peluang untuk kami menjana keuntungan daripada data dan menarik lebih ramai pelanggan untuk menilai tawaran digital baharu kami.

“Kami ingin menterjemah keupayaan digital kepada nilai bisnes sebenar dengan impak yang bermakna kepada pelanggan kami,” katanya pada majlis pelancaran strategi baharu itu di sini, hari ini.

Strategi IoT Digi meliputi pilihan untuk membangunkan solusi pintar atau lebih efisyen menerusi kerjasama dengan platform teknologi atau pakar sedia ada.

Tambah Praveen lagi, situasi pasaran automotif di negara ini menunjukkan terdapat peluang untuk Digi membawa perubahan kepada status quo dengan mencipta nilai daripada pertumbuhan dalam industri ini.

“Potensi dilihat cerah memandangkan keperluan untuk kenderaan komersil yang membawa muatan memasang sistem pengesanan masa sebenar semakin meningkat berdasarkan panduan keselamatan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

“Selain itu, bilangan kenderaan berdaftar melebihi 27.6 juta dan penambahan bilangan kenderaan dijangka kekal pada 60,000 dan 500,000 unit masing-masing untuk kenderaan komersil dan peribadi,” katanya.

INFO:

*Digi bakal memperkenalkan solusi kenderaan terhubung perniagaan ke pelanggan (B2C) yang menawarkan solusi bersepadu merangkumi ciri pengesanan, keselamatan pemandu, keselamatan kenderaan dan perkhidmatan pintar dalam kenderaan pada harga yang berpatutan.

scroll to top