Thursday , 25 April 2019

Home » Nasional » Dokumen dari Ambank diserah pada pegawai penyiasat kes – Pengurus BNM

Dokumen dari Ambank diserah pada pegawai penyiasat kes – Pengurus BNM

April 16, 2019 8:05 am Category: Nasional, Politik A+ / A-
Dokumen dari Ambank diserah pada pegawai penyiasat kes – Pengurus BNM

KUALA LUMPUR,. Pengurus Bank Negara Malaysia (BNM) memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau menyerahkan semua dokumen yang dirampas dari Ambank cawangan Jalan Raja Chulan berhubung siasatan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kepada pegawai penyiasat kes.

Azizul Adzani Abdul Ghafar berkata beliau menyerahkan lapan dokumen itu kepada Ahmad Farhan Sharifuddin pada 7 Julai 2015 sehari selepas ia dirampas.

Lapan dokumen itu ialah empat akaun Ambank milik Najib, tiga dokumen akaun syarikat SRC Sdn Bhd dan satu dokumen akaun Syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Suhaimi Ibrahim semasa pemeriksaan utama, saksi kedua itu berkata beliau turut menyerahkan borang senarai geledah kepada Ahmad Farhan.

Suhaimi : Selepas terima dokumen-dokumen dari R.Uma Devi (Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan) ada atau tidak kamu serahkan kepada sesiapa

Azizul Adzani : Tidak

Suhaimi : Apa yang kamu lakukan selepas merampas dokumen itu

Azizul Adzani : Saya serahkan kepada pegawai penyiasat kes Ahmad Farhan sehari selepas merampasnya.

Suhaimi : Selain borang serahan ini, apakah dokumen lain yang diserahkan kepada Ahmad Farhan Azizul Adzani : Saya juga serahkan borang senarai geledah serta dokumen yang telah dirampas.

Suhaimi : Kamu sebagai pegawai yang dilantik, untuk rekod bolehkah kamu keluarkan kad lantikan itu, dan baca semula bentuk lantikan itu.

Azizul Adzani: Adalah dimaklumkan bahawa Azizul Adzani Abdul Ghafar adalah pegawai Bank Negara Malaysia yang diberikan kuasa, fungsi dan tujuan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 dan beberapa akta lain yang dikeluarkan oleh BNM pada 30 Jun 2017.

Selepas Azizul Adzani selesai memberi keterangannya pada sesi pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan, peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib memohon supaya prosiding ditangguhkan sebentar bagi membolehkan pembelaan meneliti dan menyusun semula lapan dokumen itu sebelum pihak pembelaan memeriksa balas saksi itu.

Mahkamah menangguhkan prosiding lebih sejam dan selepas itu Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram memaklumkan kepada mahkamah bahawa pendakwaan memerlukan masa untuk membuat salinan dan menyusun dokumen-dokumen tersebut mengikut indeks.

Katanya sehingga 4.15 petang pihaknya hanya dapat menyelesaikan tiga dokumen dan memerlukan lebih masa untuk menyiapkan kesemua dokumen itu.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali juga mengingatkan pihak-pihak yang terlibat supaya masalah sama tidak berlaku lagi dan menangguhkan perbicaraan esok pada 9 pagi.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

— BERNAMA

scroll to top