Thursday , 13 December 2018

Home » Ekonomi » Dr Mahathir, pemimpin ASEAN bincang kebimbangan perang perdagangan di Bali

Dr Mahathir, pemimpin ASEAN bincang kebimbangan perang perdagangan di Bali

October 11, 2018 7:35 am Category: Ekonomi, Nasional A+ / A-
Dr Mahathir, pemimpin ASEAN bincang kebimbangan perang perdagangan di Bali

BALI (Indonesia),. Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan tiba di sini pada Khamis untuk menyertai para pemimpin ASEAN lain bagi membincangkan kebimbangan situasi perang tarif yang berlaku sekarang serta kecenderungan perlindungan perdagangan yang dikhuatiri menjejaskan perdagangan antarabangsa.

Perdana Menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke Perhimpunan Pemimpin ASEAN (ALG) dalam keadaan ketegangan perdagangan yang semakin meningkat apabila Amerika Syarikat dan China masing-masing mengenakan halangan perdagangan ke atas barangan antara satu sama lain.

Dengan Bali menjadi hos bagi mesyuarat para pegawai tertinggi Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia dari 8-14 Okt serta acara sampingan ALG pada 11 Okt, mereka amat menyedari risiko berbahaya kepada perniagaan global sekiranya berlaku perang perdagangan secara besar-besaran.

Menjelang mesyuarat di Bali itu, Ketua IMF, Christine Lagarde kesal bahawa retorik perlindungan perdagangan kini telah menjadi ‘halangan perdagangan sebenar’.

“Ini menjejaskan bukan sahaja perdagangan itu sendiri, tetapi juga pelaburan dan pembuatan kerana situasi tidak menentu terus meningkat,” katanya.

Pastinya akan ada banyak isu yang dibincangkan para pegawai IMF dan Bank Dunia serta bank-bank pusat dan menteri kewangan dan pembangunan apabila mereka memikirkan ke manakah hala tuju ekonomi dunia sekiranya berlaku perang perdagangan besar-besaran.

Para pemimpin ASEAN, yang dijangka menyentuh tentang isu-isu serantau sebagai persediaan menjelang Sidang Kemuncak ASEAN di Singapura pada bulan depan, perlu menimbangkan kesan perang perdagangan ke atas perkumpulan serantau itu.

Ini memandangkan kebanyakan ekonomi di Asia Tenggara amat berkait dengan pasaran Amerika dan China kerana dua kuasa ekonomi besar itu adalah antara rakan dagangan utama mereka, termasuk Malaysia.

Dengan perang perdagangan yang kian meruncing, peningkatan perlindungan perdagangan dan halangan bukan tarif yang turut muncul, mesyuarat Bank Dunia, IMF dan ASEAN jelas sekali adalah satu perhimpunan penting, terutamanya dalam mencari jalan bagi meredakan ketegangan perdagangan.

Susulan ketegangan perdagangan itu, IMF juga telah menurunkan sasaran pertumbuhan global bagi tahun ini kepada 3.7 peratus daripada 3.9 peratus sebelum ini.

Lagarde berkata dunia memerlukan tindakan pantas, kerana sekiranya konflik perdagangan sekarang terus meruncing, ia boleh membawa tekanan kepada ekonomi sedang pesat membangun dan ekonomi membangun.

Justeru, dalam ucapan pembukaan mesyuarat IMF-Bank Dunia hari ini, beliau meminta negara-negara untuk bekerjasama bagi meredakan ketegangan perdagangan ketika ini, memodenkan sistem perdagangan global serta melaksanakan dasar domestik bagi memastikan perdagangan global yang lebih efektif.

Berdasarkan senario itu, ALG akan menyediakan platform perbincangan antara pemimpin ASEAN dan Pengarah Urusan IMF, Presiden Bank Dunia dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, untuk meneruskan usaha meningkatkan kerjasama antara satu sama lain.

ASEAN dengan populasi lebih 630 juta orang, merupakan pasaran ketiga paling padat penduduk di dunia selepas China dan India, dan ekonomi keenam terbesar di dunia dengan gabungan keluaran dalam negara kasar lebih US$2.4 trilion.

Dr Mahathir akan diiringi isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah, serta para pegawai daripada Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Luar Negeri.

Tema mesyuarat tersebut adalah “Mencapai Matlamat Mampan (SDG) dan Menangani Jurang Pembangunan menerusi Kerjasama Serantau dan Global”.

Ini merupakan kunjungan kedua Dr Mahathir ke Indonesia sejak menjadi perdana menteri buat kali kedua selepas pilihan raya umum bersejarah Malaysia pada Mei.

Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong juga akan berada di sini dan mempengerusikan bersama perbincangan mengenai pembangunan mampan bersama Presiden Indonesia Joko Widodo.

Antara pemimpin ASEAN lain yang akan turut hadir termasuklah Presiden Filipina Rodrigo Duterte.

Dr Mahathir juga dijangka mengadakan perbincangan dua hala dengan rakan sejawat ASEAN semasa mesyuarat itu.

— BERNAMA

scroll to top