Wednesday , 24 July 2019

Home » Nasional » Dr Mahathir pengerusikan mesyuarat pertama EAC, bincang isu kos sara hidup

Dr Mahathir pengerusikan mesyuarat pertama EAC, bincang isu kos sara hidup

March 21, 2019 7:36 am Category: Nasional A+ / A-
Dr Mahathir pengerusikan mesyuarat pertama EAC, bincang isu kos sara hidup

PUTRAJAYA,. Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di Perdana Putra di sini.

Mesyuarat itu membincangkan tiga kertas cadangan dengan dua daripadanya memberi fokus kepada usaha menangani peningkatan kos sara hidup rakyat yang dibentangkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi turut membentangkan cadangan mewujudkan Dana Mudahcara B40 yang menggunakan keusahawanan sosial sebagai platform untuk meningkatkan taraf hidup isi rumah B40.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam kenyataan sempena mesyuarat itu berkata, turut dibincangkan ialah pelaksanaan keputusan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL).

“Mesyuarat hari ini telah mendapatkan cadangan dan maklum balas daripada anggota-anggota majlis untuk menangani isu kos sara hidup, meningkatkan produktiviti dan kuasa beli rakyat serta menambah baik taraf hidup isi rumah berpendapatan B40,” katanya.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi yang juga bertindak sebagai urus setia EAC berkata kerajaan akan meneliti semua cadangan yang telah diutarakan oleh semua anggota majlis dan cadangan yang dipersetujui akan dilaksanakan segera.

“Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan terus peka terhadap kesulitan hidup golongan B40 dan mengambil langkah segera untuk merancakkan dan merangsang pertumbuhan ekonomi yang mampan, pengagihan kekayaan yang saksama dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Penubuhan EAC diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 11 Feb lepas bertujuan meneliti dan membuat keputusan berkaitan hal ehwal ekonomi dan kewangan serta kebajikan rakyat.

Dipengerusikan Perdana Menteri, majlis itu dianggotai 16 anggota termasuk Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali; Menteri Kewangan Lim Guan Eng; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ignatius Darell Leiking; Menteri Kerja Raya Baru Bian; Penasihat Ekonomi Perdana Menteri Dr Muhammed Abdul Khalid; bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Rafidah Aziz dan Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Anggota majlis lain ialah Ahli Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) Prof Dr Jomo Kwame Sundaram; Pengarah Urusan Public Bank Tan Sri Tay Ah Lek; Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Dr Hasnita Hashim; Pengerusi Bursa Malaysia Datuk Shireen Ann Zaharah Muhiudeen; Pengerusi Asean Business Advisory Council Malaysia, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr Paul Selvaraj; Peguam Bah Tony @ Amani William Hunt Abdullah dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah, Institut Masa Depan Malaysia (MASA) Nizam Mahshar.

— BERNAMA

scroll to top